JUVENTUS 2 INTER MILAN 0

Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, berkata masa depan skuad kebangsaan Itali kian cerah selepas Nicolo Fagioli menandakan penampilan pertamanya dalam Serie A dengan gol penting ketika menewaskan Inter Milan dalam Derby d'Italia awal pagi tadi.

Fagioli memanfaatkan serangan balas gemilang yang dilancarkan Juventus dengan menewaskan Andre Onana menerusi rembatan terbiasnya untuk Bianconeri memintas seteru tradisi mereka itu dalam kedudukan Serie A dengan kemenangan 2-0.

Selain memastikan tiga mata pasukannya menerusi penyudah pada minit ke-84 itu, Fagioli turut mencipta dua peluang dan melengkapkan 93 peratus daripada hantarannya, sekali gus membuatkan Allegri berasa kagum.

Ditanya sama ada Fagioli layak mendapat panggilan bersama Itali, Allegri memuji pemain berusia 21 tahun itu dan berkata nama-nama besar di Juventus perlu bersaing dengan pemain itu dan seorang lagi pemain muda, Fabio Miretti, apabila kembali cergas.

"Anda perlu bertanyakannya kepada (Roberto) Mancini," kata Allegri.

"Apa yang pasti, saya percaya pasukan kebangsaan mempunyai masa depan yang cerah dengan pemain muda seperti ini, yang perlu untuk diperkembangkan, bukan setakat di Juventus.

"Terdapat kelompok yang bagus untuk diketengahkan bagi menghadapi tahun-tahun mendatang dengan sebaiknya.

"Sesiapa sahaja yang tidak ada hari ini perlu berlari kerana pemain-pemain muda ini berlari. Fagioli dan Miretti tidak boleh diganggu.

"Ada ketika mereka akan bermain kurang baik, ia perkara biasa tetapi mereka perlu melalui saat ini dengan ketenangan," katanya.

Pada usia 21 tahun dan 267 hari, Fagioli menjadi pemain ketiga termuda menjaringkan gol buat Juventus dalam Derby d'Italia Serie A selepas Giacomo Neri melakukannya pada 1936 (20 tahun dan 291 hari) dan Antonio Montico pada 1955 (21 tahun dan 115 hari).

Juventus, dalam pada itu, memenangi kesemua empat perlawanan liga terakhir tanpa dibolosi sebarang gol.