Pemangku ketua jurulatih PKNS FC, Adam Abdullah, menjelaskan kelab itu akan dibarisi lebih ramai pemain muda pada musim depan walaupun terdapat pemain senior yang masih dikekalkan dalam pasukan.

Ketua pasukan, Safee Sali, Khyril Muhymeen Zambri dan K. Gurusamy adalah antara 10 pemain yang dikekalkan dalam skuad Semut Merah bagi saingan Liga Super musim depan.

Namun, Adam memberi jaminan bahawa sebahagian besar pemain baru yang bakal menyertai pasukan itu adalah dalam linkungan bawah 23 tahun.

"Tidak ramai pemain senior yang dikekalkan, kebanyakan muka baru nanti sekitar umur 23 hingga 24 tahun.

"Pemain senior yang dikekalkan pula atas prestasi baik mereka," katanya.

Penyerang skuad B-22 negara, Jafri Firdaus Chew Abdullah, dan pertahanan kiri Kelantan, Mohd Qayyum Marjoni, adalah antara muka baru yang akan membarisi PKNS pada musim baru nanti.

"Pemain baru akan mula melaporkan diri pada minggu pertama bulan depan dan kami merancang untuk mengharungi pra-musim di luar negara, besar kemungkinan ke Indonesia," katanya.

Sementara itu, bekas pengendali kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, dijangka diumumkan selaku pengendali baru PKNS apabila sudah kelihatan berada di pusat latihan kelab itu.

Bagaimanapun, Rajagobal enggan ditemuramah selagi pihak pengurusan belum membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikannya.