Penyerang import Melaka, Ilija Spasojevic, menegaskan Melaka United bukan pasukan belasahan selepas berjaya mengikat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Melaka melayan kunjungan JDT dengan reputasi buruk setelah dibelasah dengan tujuh gol ketika pertemuan di Larkin, April lalu.

Enggan lagi dilabel pasukan belasahan, anak buah Eric Williams tampil dengan karektor berbeza dalam pertemuan di laman sendiri.

Ketinggalan pada minit ke-59 hasil jaringan Safiq Rahim tidak melemahkan semangat Melaka apabila bangkit pada lewat permainan menerusi gol pemain import Korea Selatan, Jeon Woo-young.

"Kami turun dengan niat membuktikan sesuatu kerana semua orang berkata bahawa Melaka United pasukan belasahan.

"Jadi, kami bermotivasi untuk membuktikan kami bersedia berdepan sesiapapun," ujar Spasojevic.

Dalam perlawanan itu, pemain berusia 29 tahun itu turut membantu bahagian pertahanan di hujung permainan setelah menyedari gol yang dihasilkan Melaka cukup berharga.

"Selepas gol penyamaan dijaringkan, saya terus turun membantu bahagian pertahanan kerana saya tahu JDT sudah pasti akan cuba bangkit.

"Saya berharap kami akan meraih kemenangan dalam perlawanan seterusnya selepas tiga kali melakar keputusan seri," tambahnya.

Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora, enggan menuding jari kepada mana-mana pemainnya, termasuk pertahanan muda, Dominic Tan.

Mora mengakui Dominic telah beraksi baik walaupun jaringan penyamaan Melaka tampak berpunca hasil kealpaan pertahanan skuad bawah 22 tahun negara itu.

"Kadang kala mana-mana pemain pertahanan akan melakukan kesilapan, ia perkara biasa. Bagi saya, ia bukan kesilapan Dominic. Saya tidak perlu tuding jari kepada mana-mana pemain," katanya.

Dalam perlawanan itu, Mora merehatkan beberapa tonggak utama, termasuk Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Mora turut menegaskan JDT masih di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan liga walaupun keciciran mata.