Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo, mengakui kepuasan dapat menewaskan Malaysia dalam perlawanan peringkat Kumpulan B, Piala Suzuki AFF di Singapura semalam merupakan sesuatu yang amat luar biasa.

Bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu memberikan pujian buat anak buahnya sambil menganggap semua pihak kini dapat melihat jurang di antara pasukannya dengan Harimau Malaya.

Dalam aksi di Stadium Bishan semalam, pasukan Naga Emas itu meraih kemenangan 3-0 ke atas barisan bimbingan Tang Cheng Hoe hasil jaringan Nguyen Quang Hai, Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Hoang Duc, sekali gus menduduki tangga kedua Kumpulan B di belakang Indonesia.

"Sukar untuk saya gambarkan kekuatan pasukan Vietnam tetapi saya sentiasa percayakan pemain saya," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Hari ini, mereka beraksi dengan baik dan saya amat berpuas hati.

"Semua orang boleh menilai apa yang dimiliki pasukan ini," katanya.