Penghijrahan Erling Haaland tidak bermakna Borussia Dortmund 'berhenti bermain bola sepak', ketua jurulatih, Marco Rose, mengumum sambil mendoakan pemain yang bakal menjadi penyerang Manchester City untuk musim depan.

City telah bersetuju dengan perjanjian untuk menandatangani Haaland, yang pernah menjadi antara pemain paling dicari di dunia.

Pemain berusia 21 tahun itu kini akan mengikut jejak langkah bapanya, Alf-Inge Haaland, yang bermain untuk City antara 2000 dan 2003.

Haaland telah menjaringkan 85 gol sejak membuat penampilan sulung di Dortmund pada Januari 2020, dengan 28 daripadanya datang daripada 29 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.

Merentasi lima liga teratas Eropah, hanya penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, mempunyai nisbah gol yang lebih baik (1.13) setiap 90 minit dalam semua pertandingan berbanding 1.1 Haaland.

Perpindahan ke City adalah tertakluk kepada syarat peribadi, walaupun ia tidak mungkin menimbulkan isu, dengan skuad kendalian Pep Guardiola bersedia untuk menambah penyerang bertaraf dunia ke dalam skuad mereka.

Dortmund menandatangani pemain muda Salzburg, Karim Adeyemi -- bekas rakan sepasukan Haaland -- sebagai pengganti pemain Norway itu, dan sementara Rose mengucapkan selamat maju jaya di Manchester, serta mengetahui BVB perlu melihat ke hadapan.

"Borussia Dortmund tidak akan berhenti bermain bola sepak selepas Erling meninggalkan kami. Dia memutuskan untuk melakukan langkah seterusnya bersama City, kami mendoakan yang terbaik untuknya," kata Rose.

“Saya berasakan dia banyak membantu kami, memberikan kami gol, memberi kami tenaga, dia seorang pemain yang sentiasa mahu menang.

"Saya fikir dia masih boleh meningkat, dia masih muda tetapi kami mendoakan yang terbaik untuknya. Saya sudah mengenalinya lebih lama lagi, saya juga ada di Salzburg, jadi kami akan mengikutinya, saya rasa kami akan bertemu lagi, saya harap kita akan bertemu lagi. Semoga berjaya buat Erling Haaland."