Walaupun tidak berbelanja besar, Selangor United membuktikan wang bukan segala-galanya untuk meraih kejayaan selepas menempah slot ke Liga Perdana 2019 dan kini berharap mampu menamatkan musim ini sebagai juara Piala FAM.

Di bawah kendalian bekas pemain Selangor era 90-an, Abdul Talib Sulaiman, Selangor United mara ke final selepas menyingkirkan PJ Rangers dalam separuh akhir.

Walaupun tidak mempunyai pemain ternama, mereka membuktikan kekurangan itu tidak menjadi batu penghalang buat mereka.

Selangor United bakal berdepan Terengganu City FC yang dilabel pasukan pilihan dalam final Piala FAM, namun Talib dan ketua pasukan, Zamri Hassan, sudah sedia untuk membuat lawan menggigit jari.

"Banyak pihak mengatakan bahawa bola sepak adalah berkaitan wang tetapi bagi saya, ia bukan segala-galanya dalam sukan ini.

"Seperti maklum, Selangor United bukanlah sebuah pasukan yang berbelanja besar untuk mengambil pemain-pemain yang berkualiti tetapi mengikut prinsip, saya lebih percaya kepada tenaga muda," kata Talib.

"Saya berharap kami akan dapat mencipta sejarah buat Selangor United tahun ini, menjulang Piala FAM walaupun kami sudah melayakkan diri ke Liga Perdana," tambah Zamri.

Sementara itu, Terengganu City FC pula mahu mengetepikan masalah dalaman berhubung soal tunggakan gaji pemain selain status penyertaan mereka ke Liga Perdana, musim depan.

Ketua jurulatih, Mohd Noor Derus, menegaskan moral pemainnya masih berada di tahap terbaik bagi memburu kejuaraan Piala FAM.

"Kami akan terlebih dahulu menamatkan perlawanan akhir dan melihat perancangan seterusnya.

"Walaupun kami menghadapi beberapa masalah, saya yakin setiap kesukaran diharap dapat diselesaikan. Saya sentiasa memberitahu pemain-pemain agar fokus kerana ini adalah peluang untuk menjuarai Piala FAM," ujar Mohd Noor.