Pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir, berpendapat bahawa pemain-pemainnya sudah memberikan komitmen terbaik ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga membolehkan mereka mengutip satu mata di laman sendiri hasil keputusan seri 2-2.

Bagi Nazliazmi, segala perancangan telah dilaksanakan tetapi sedikit kealpaan membolehkan JDT meraih gol penyamaan menerusi Harry Novillo dalam aksi babak kedua.

"Syukur kami meraih satu mata tetapi ia hampir kepada kemenangan. Cuma, faktor kelekaan di barisan pertahanan telah memberikan peluang mudah buat JDT untuk menjaringkan gol," katanya.

Dalam masa sama, penyerang Selangor, Rufino Segovia, turut bersetuju dengan pendapat Nazliazmi walaupun skuad The Red Giants menampilkan ramai pemain muda.

Pemain kelahiran Sepanyol itu juga berasa corak permainan Selangor kini semakin baik dan berada di landsan tepat untuk memperbaiki kedudukan liga.

"Saya rasa kami berusaha keras dan memiliki peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

"Secara berpasukan, saya dapat melihat semua pemain lebih yakin dan beraksi sebagai satu skuad, terutama dalam dua aksi terakhir," tambah Segovia.