Selangor dikhabarkan sudah mempunyai seorang ketua jurulatih baru dari Jerman bagi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Individu yang dimaksudkan itu adalah Karsten Neitzel, yang dikatakan sudah tiba di Malaysia dan telah berada dalam sesi latihan skuad Gergasi Merah itu selepas menjalani kuarantin wajib selama 14 hari Selasa lalu.

Bekas penolong jurulatih SC Freiburg dan kelab Jepun, Urawa Reds, itu dilaporkan turut menonton perlawanan Selangor menentang Melaka United dalam Piala Malaysia minggu lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner, ketika dihubungi Nadi Arena enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Saya tidak boleh memberikan komen mengenai perkhabaran ini. Saya minta maaf mengenainya.

"Kami akan membuat pengumuman mengenai ketua jurulatih baru itu tidak lama lagi, jadi sila bersabar dahulu.

"Peminat kami mungkin akan gembira dan berbangga dengan pasukan baru kami nanti," katanya.

Selain itu, Selangor juga sedang hangat dikaitkan untuk mendapatkan penyerang prolifik Perak, Shahrel Fikri Fauzi, dan pemain muda Pahang, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.