Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mencapai persetujuan dengan PKNS FC untuk membuat satu pertukaran sebelum tarikh perpindahan pertama pemain ditutup tengah malam tadi.

FAS menerusi laman sesawangnya; www.redgiants.faselangor.my, memaklumkan Fandi Othman yang beraksi dengan PKNS FC akan mengisi posisi pertahanan kiri, K. Kannan, yang berpindah ke kelab berkenaan.

Untuk rekod, Fandi merupakan anak kelahiran Johor yang memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan Harimau Muda A pada 2009.

Dia pernah beraksi dengan beberapa pasukan lain, termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Melaka dan Felcra FC.

"Pemain pertahanan ini turut dikenali ramai sebagai seorang pemain yang sangat berdedikasi dan diharap kualiti ini akan dapat membantu memperkuatkan lagi benteng pertahanan Selangor," jelas FAS.

Kannan pula merupakan pemain muda daripada skuad Piala Presiden Selangor yang diserapkan ke dalam skuad Liga Super Selangor pada 2016 dan kekal sehingga kini.

-- BERNAMA