Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, tampak lega dengan perkembangan tonggak barunya, Ahmad Khuzaimi Piee, yang tidak terkena 'sumpahan' kecederaan panjang.

Pertahanan kebangsaan itu sebaliknya perlu berehat sekurang-kurangnya enam minggu berikutan mengalami kekoyakan otot di betis sepanjang 1.6 sentimer.

"Memang timbul kerisauan dalam kalangan jurulatih apabila 'Jimmy' ditimpa kecederaan.

"Selepas mendapat penjelasan kakitangan perubatan pasukan kebangsaan, dia mungkin boleh pulih dalam masa 4-5 minggu.

"Itulah satu petanda baik buat Jimmy dan kita tahu kecederaan dalam bola sepak boleh berlaku di mana-mana sahaja," kata jurulatih itu.




Terdahulu, kem Gergasi Merah mendapat perhatian warga maya apabila Khuzaimi selaku muka baru yang ditandatangani mereka ditimpa kecederaan dalam aksi awal kempen Piala AFF 2022.

Berlaku sehari selepas kelab Lembah Klang itu mengumumkan ketibaan Khuzaimi, reaksi peminat rata-ratanya mengucapkan "selamat datang ke pusat rehabilitasi Selangor" buat pemain -- yang membantu Negeri Sembilan meraih tempat keempat Liga Super musim lalu -- tersebut.

Tanggapan itu berlaku berikutan beberapa pemain yang pernah menyertai Selangor lebih banyak menghabiskan masa bagi tujuan proses pemulihan kecederaan berbanding aksi di atas padang.

Sementara itu, Selangor yang merancang mengadakan kem pra-musim di luar negara difahamkan akan merekrut penyerang baru, Edigar Junio, dari Brazil termasuk pemain sayap Syria, Mahmoud Al-Mawas, lantas Cheng Hoe menjelaskan: "Latihan pra-musim akan bermula pada minggu pertama Januari, kami harapkan dapat mengisi kuota import dengan segera kerana mereka perlukan masa untuk sesuaikan diri termasuk cuaca, budaya dan memahami keadaan pasukan.

"Kadang-kadang ia bergantung kepada perbincangan kedua-dua pihak untuk menyelesaikannya," katanya.