Tewas dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pasti menghambat fikiran pemain-pemain Selangor sebelum dua pasukan itu bertemu dalam pusingan pertama saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) esok.

Ini sudah pasti akan menjadi tonik kepada anak didik Tan Cheng Hoe itu untuk membalas dendam dan seterusnya menjadi pasukan pencabar dalam perebutan juara Liga Super musim ini.

Daripada segi kualiti pemain dan taktikal yang diterapkan juara Liga Super dua kali itu, ia tidak jauh berbeza dengan Harimau Selatan.

Ini telah dibuktikan dalam empat perlawanan yang telah mereka lalui cuma kelebihan di bahagian penyudah di miliki Harimau Selatan setakat ini.

Dengan mengumpulkan 17 jaringan daripada empat perlawanan yang dilalui mereka, ia pasti akan menjadi tugas yang amat berat buat pemain pertahanan Red Giants seperti Yazan Al-Arab dan Sharul Nazeem Zulpakar kerana mereka akan berhadapan dengan penyerang dan pemain tengah Harimau Selatan yang lincah.

Sudah tentu JDT akan menggunakan kekuatan bahagian tengah mereka dengan pemain seperti Endrick dos Santos, Juan Muniz dan Oscar Arribas, untuk melorongkan bola kepada penyerang.

Untuk memastikan setiap gerakan anak didik Esteban Solari itu mampu dihalang, pemain midfield perlu cepat menekan dan memenangi bola secepat mungkin.

Brendan Gan perlu banyak memainkan peranan sebagai ketua pasukan untuk memberikan arahan kepada rakan-rakannya supaya cepat memberi tekanan dan pastikan mereka cepat berada di taktikal zon supaya bentuk segi tiga atau segi empat berjaya dikekalkan bagi menutup laluan hantaran bola ke hadapan yang kerap dilakukan pemain-pemain tengah Harimau Selatan bagi mencari Arif Aiman Hanapi, Fernando Forestieri dan Bergson da Silva.

Jika disiplin itu dapat dikekalkan, tidak mustahil The Red Giants mampu membuat kejutan pada malam esok tetapi jika anak didik Tan Cheng Hoe itu terlalu banyak memberikan ruang kepada Arribas, Muniz atau Endrick menguasai bola, ia pasti akan menekan juara dua kali Liga Super itu.

Lebih penting adalah bagaimana Brendan Gan dan rakan-rakannya dapayt mengawal tempo permainan esok kerana corak permainan yang diterapkan oleh Tan Cheng Hoe mirip dengan apa yang dilakukan Solari seperti memulakan serangan melalui tengah dengan hantaran-hantaran pantas.
Corak seperti ini akan menjadikan perlawanan lebih teruja untuk disaksikan dan pasti berentap dengan aksi-aksi yang memukau serta kreatif.