Kalah dalam perlawanan kedua peringkat separuh akhir Piala Malaysia kepada Terengganu tidak memberi kesan untuk Selangor menempah slot ke perlawanan akhir apabila menang melalui agregat 3-2, malam tadi.

Dengan kejayaan ke perlawanan akhir itu sebenarnya telah mengembalikan imej The Red Giants sebagai sebuah pasukan yang perlu diberikan perhatian pada musim hadapan.

Namun, sebelum itu anak didik Tan Cheng Hoe perlu mengejar misi untuk menambah koleksi untuk menjulang Piala Malaysia buat kali ke-34 apabila berhadapan dengan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Tidak mustahil untuk Selangor untuk mengejar koleksi kejuaraan mereka kerana apa yang dipamirkan ketika menentang Sang Penyu amat baik sekali.

Dengan semangat berpasukan yang jitu dan disiplin yang tinggi itu telah berjaya menghalang anak didik Nafuzi Zain berkenaan daripada menambah jaringan untuk menyamakan agregat dan terus mengheret perlawanan ke masa tambahan.




Walaupun pada awalnya pemain Selangor agak tidak tersusun persembahannya tapi dengan pengalaman yang dimiliki Yazan Al-Arab telah berjaya mengawal pertahanan dengan baik.

Bahagian midfield The Red Giants juga banyak membantu kelancaran semasa serangan atau pun bertahan terutama Brendan Gan dan Mukhairi Ajmal kerana kedua-dua pemain ini sentiasa berada dalam zon mereka untul memastikan mereka dapat memainkan peranan yang dipertanggungjawabkan.

Cuma beberapa pemain pertahanan seperti Sharul Nazeem Zulpakar dan Fazly Mazlan perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kerana ada keputusan-keputusan yang di buat oleh mereka boleh mendatang ancaman kepada pintu gol sendiri.

Apabila berhadapan Harimau Selatan di perlawanan akhir nanti Tan Cheng Hoe juga perlu berhati-hati dalam mencorakkan strateginya supaya pemain The Red Giants tidak terperangkap dengan taktikal dan strategi yang akan digunakan Hector Bidoglio melalui pemain sayap seperti Arif Aiman Hanapi.




Namun, inilah perlawanan akhir yang dinanti-nantikan oleh semua peminat-peminat bola sepak Negara apabila dua seteru ini akan menyemarakkan lagi malam perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini apabila kedua-dua pasukan itu mempunyai misi masing-masing.