Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, menafikan kelab itu ada menerima bantuan kewangan daripada pemilik Johor Darul Ta'zim FC (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

TMJ sebelum ini mendedahkan pernah membantu beberapa pasukan bola sepak tanah air menjelaskan masalah gaji pemain dan antara pasukan yang disebutkan adalah Selangor dan Kelantan FC.

Bagaimanapun, Dr Johan berkata kepada Nadi Arena bahawa pihaknya tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan daripada pihak TMJ sejak kelab itu diambil alih oleh Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 2018.

Dia berkata: "Berkenaan kenyataan TMJ berhubung Tuanku menolong membayar gaji pemain Selangor, setakat ini Alhamdulillah, sejak Raja Muda Selangor mengambil alih pasukan ini pada 2018, kami memang tidak pernah mendapat sebarang dana daripada TMJ untuk membayar gaji.

"Setakat ini, segala pembayaran gaji yang kami lakukan adalah daripada tajaan dan aktiviti komersial dan daripada pasukan Tuanku Raja Muda. Itulah keadaannya sejak 2018.

"Sebelum 2018 pula, saya ada melakukan semakan dengan akauntan dan mendapati bahawa sebelum ini, JDT mungkin ada memberikan bayaran pampasan buat pemain-pemain Selangor yang berpindah ke Johor dan jumlahnya saya rasa dalam lingkungan RM1.1 juta.

"Tetapi untuk membayar gaji -- berdasarkan pihak akauntan saya -- memang tiada (bantuan) secara rasmi.

"Mungkin ada melalui saluran tidak rasmi tetapi melalui akaun bank Selangor, sebelum 2018, berdasarkan apa yang dimaklumkan kepada saya, ia hanya untuk bayaran pampasan pemain Selangor yang berpindah ke Johor," katanya.