Setelah mengharungi dua perlawanan Liga Super musim ini, Selangor masih lagi buntu untuk mencari kemenangan pertama apabila The Red Giants hanya mampu mengutip satu mata ketika berhadapan Negeri Sembilan di Stadium Paroi, Negeri Sembilan.

Situasi itu juga sudah pasti akan mendatangkan keresahan kepada jurulatih Selangor, Michale Feichtenbeiner, tentang prestasi anak didiknya terutama ketika mempertahankan pintu gol mereka.

Ini yang dihadapi Gergasi Merah ketika ini apabila pintu gol mereka telah dibolosi lima kali dalam dua perlawanan.

Apa yang penulis perhatikan kehilangan fokus dan kerjasama secara berpasukan ketika bertahan merupakan punca utama The Red Giants kehilangan mata berharga dalam dua perlawanan.

Sekiranya pemain-pemain Selangor berjaya mengatasinya, sudah tentu mereka mampu menjadi pasukan yang boleh memberi saingan pada pasukan Johor Darul Ta’zim, Kedah Darul Aman dan Terengganu untuk merebut carta Liga Super. Ini penulis mahu nyatakan kerana Selangor mempunyai ramai pemain-pemain tempatan yang berpengalaman dan berbakat seperti Shahrel Fikri Fauzi, Mukhairi Ajmal, Sharul Nazeem Zulpakar, Fadzly Mazlan, Khairul Azhan Khalid, Quentin Cheng dan ramai lagi.





Selain itu juga, pemain-pemain perlu berkomunikasi dengan baik terutama ketika bertahan untuk memastikan mereka dapat menjalankan tugas masing-masing dengan lebih baik lagi.

Mereka juga bermain kurang agresif dalam mempertahankan kubu mereka kerana pemain-pemain hadapan mereka agak lambat untuk memberi tekanan sebab itu ia membuatkan pemain-pemain pertahanan tertekan dan akhirnya mereka melakukan kesilapan.

Ia boleh dilihat melalui dua jaringan yang dilakukan Negeri Sembilan apabila pelawat lambat memberi tekanan kepada lawan dan ia telah membuka ruang kepada lawan untuk berfikir dan membuat pilihan hantaran.

Mereka seolah-olah terpegun (ball watching) melihat sahaja apa yang ingin dilakukan lawan.

Selain itu, pemain-pemain import juga perlu mempamerkan kualiti mereka supaya dapat membimbing pemain tempatan.

Sementara itu, Michale Feichtenbeiner perlu lebih berani untuk mewujudkan identiti permainan Selangor kerana ketika ini dia memiliki pemain-pemain yang telah didedahkan dengan permainan indentiti bola sepak Malaysia yang bermain secara membina serangan dan bertahan yang bermula dari penyerang, terutama pemain-pemain muda yang pernah bersama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Jika ini berjaya dilakukan, ia akan mewujudkan satu indentiti bola sepak Selangor yang mantap dan sebuah pasukan yang mempunyai mentaliti kemenangan.