Pasukan Selangor FC berpotensi menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih musim 2024/25.

Kemungkinan ini dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar kepada media semalam.

Shahril berpandangan sedemikian kerana beliau percaya insiden pemain sayap Merah Kuning, Faisal Halim disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali pada Ahad lepas memberi kesan negatif kepada semua pemain dan pegawai dalam pasukan.

Insiden yang berlaku pada petang Ahad lepas menyaksikan Faisal mengalami kelecuran tahap empat dan perlu menjalani pembedahan selama empat jam.

Beliau kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya sejak dua hari lepas. Susulan itu, dua orang suspek ditahan polis bagi membantu siasatan kes tersebut.

Shahril memaklumkan Selangor sedang menjalankan penilaian menyeluruh terutama dari segi keselamatan pemain dan pegawai pasukan.

Beliau turut mendedahkan pengurusan Merah Kuning menimbang semua pilihan yang ada termasuk menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih. Sebarang keputusan yang diambil akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Ini amat mencabar bagi saya untuk memberikan pandangan tentang situasi semasa terutamanya mengenai penyertaan kami dalam Piala Sumbangsih kerana saya tidak pasti sama ada kami akan menghantar pasukan ke Johor (atau tidak).

“Saya perlu berbincang dengan semua pemain kerana semua orang perlu memahami bahawa apabila insiden sebegitu berlaku, ini memberi impak psikologi yang besar kepada semua pemain dan pegawai dalam pasukan.

“Trauma tidak terhad kepada Faisal Halim sahaja, keluarganya termasuk anak-anaknya turut terjejas, begitu juga dengan pemain-pemain lain dalam pasukan.

“Berkenaan keputusan kami tentang (penyertaan dalam) Piala Sumbangsih, itu masih tidak diketahui. Kami akan mengumumkan pendirian kami tidak lama lagi bersama sebarang kemas kini daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan jadual perlawanan yang diatur termasuk Piala Sumbangsih akan diteruskan. Pada masa sama, beliau turut memaklumkan perubahan akan dimaklumkan sekiranya ada.

Sekiranya Selangor memilih untuk meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih, mereka bakal berdepan juara Liga Super musim 2023, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada Jumaat ini. - Sumber Makan Bola