Tewas di tangan Thailand B22 dalam perlawanan kedua Kumpulan B saingan Sukan SEA Kemboja telah menggugat sedikit peluang Malaysia B22 untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke separuh akhir dalam temasya kali ini.

Sudah pasti ia akan memberi sedikit tekanan kepada pengendali skuad Harimau Muda, E Elavarasan, untuk mencari formula terbaik bagaimana untuk memastikan skuad kendaliannya itu mampu mencipta menang ke atas juara bertahan, Vietnam B22, selepas ini bagi memastikan apa yang disasarkan FAM itu tercapai.

Jika dinilai daripada segi prestasi yang dipamerkan skuad Harimau Muda dalam dua perlawanan yang dilalui itu, ia amat membimbangkan walaupun telah mencipta kemenangan yang besar ke atas Laos.

Ini kerana pertahanan skuad Harimau Muda mudah ditembusi. Apa yang penulis lihat taktikal disiplin ketika bertahan secara berkumpulan amat lemah dan ini yang perlu diperbaiki oleh Elavarasan dengan pasukan kejurulatihannya, terutama di bahagian midfield dan sayap, di mana dua bahagian itu gagal untuk berfungsi ketika bertahan di mana lewat untuk masuk ke bahagian tengah bagi mengecilkan ruang supaya di bahagian tengah dan pertahanan nampak padat.

Apabila bertahan juga ia tidak menampakkan keseimbangan bilangan pemain ketika bertahan.

Itu yang terjadi ketika pemain-pemain muda Gajah Perang melakukan serangan balas di mana satu ketika hanya ada tiga pemain pertahanan Harimau Muda berbanding empat pemain muda Gajah Perang.

Selain itu anak didik E. Elavarasan juga perlu cepat memberi tekanan kepada lawan supaya mereka tidak mampu melakukan hantaran ke hadapan dengan cepat terutama ketika berhadapan dengan Vietnam B22 nanti.

Ini yang terjadi semasa pertemuan dengan Thailand B22 semalam apabila memberi ruang kepada lawan, mereka telah dapat melakukan hantaran ke hadapan dengan cepat terutama melalui lorongan-lorongan di bahagian tengah dan di belakang pertahan. Ini yang berlaku dan membuatkan pemain muda Gajah Perang berjaya melakukan jaringan.

Jika permasalahan ini dapat diatasi dengan segera oleh E. Elavarasan dan pasukan kejurulatihannya, ia pasti akan menambah kekuatan yang ada pada skuad Harimau Muda ini kerana jika di lihat daripada segi teknikal individu dan kekuatan fizikal pemain-pemain muda negara ini ia mempunyai kelebihan tersendiri.

Mereka juga perlu meningkatkan persefahaman dan kreaftiviti dalam mencorakkan serangan semasa bertemu Vietnam B22 sekiranya ingin mencipta kemenangan supaya dapat meletakkan Malaysia B22 pada kedudukan terbaik nanti dan seterusnya layak ke separuh akhir.

Sama-sama kita terus memberi sokongan dan dorongan kepada pemain-pemain muda negara ini supaya mereka terus bangkit untuk mengharumkan nama Malaysia dalam temasya Sukan SEA ini.