Andre Schurrle menafikan dia akan memendekkan tempoh pinjaman ke Fulham jika kelab itu tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris.

Sejak kembali ke England menerusi pinjaman dua tahun daripada Borussia Dortmund, Schurrle telah menjaringkan enam gol dalam liga, namun The Cottagers ketinggalan tujuh mata daripada zon selamat.

Ketika ditemu bual media Jerman, Kicker, pemenang Piala Dunia 2014 itu berkata tempoh pinjamannya di Craven Cottage akan tamat berdasarkan penyingkiran.

Namun, menulis dalam media sosial semalam, Schurrle mendakwa kata-katanya telah disalahertikan.

"Peminat Fulham, tolong jangan percaya apa yang diperkatakan oleh akhbar ini kerana ia langsung tidak jelas dengan apa yang saya katakan!" kata Schurrle.

"Ia disalahtafsirkan dan cuba meletakkan tajuk yang salah! Ayuh bersatu dan berjuang sehingga akhirnya!"

Fulham akan meneruskan aksi liga menentang Manchester United di laman sendiri Sabtu nanti.