Penyerang Borussia Dortmund, Andre Schurrle, menyifatkan Mainz layak meraih kemenangan selepas menundukkan pasukannya 2-1, semalam.

Dalam aksi di Signal Iduna Park, pelawat mencatat kemenangan pertamanya ke atas Dortmund untuk mengesahkan status selaku pasukan atasan Bundesliga sambil membuatkan perebutan slot ke Liga Juara-Juara Eropah masih terbuka sehingga minggu terakhir.

Dortmund berpeluang memastikan kelompok empat teratas liga menjadi milik mereka sekiranya mengutip kemenangan atau seri setelah diikat 0-0 oleh Werdr Bremen, namun persembahan longlai membuatkan tekanan semakin tinggi buat pengendali, Peter Stoger.

Tuan rumah dikejutkan dengan dua gol seawal minit ke-13 perlawanan dan gagal bangkit untuk memadamkan kelebihan pelawat walaupun jaringan Maximilian Philipp memberikan sedikit harapan.

Schurrle tanpa berselindung mempersoalkan keinginan yang dipamerkan pemain-pemain BVB sewaktu Mainz meraih gol awal.

“Segalanya buruk buat kami dalam perlawanan. Jaringan awal telah menyekat kami,” kata Schurrle kepada laman web rasmi pasukan.

“Mainz jelas mempamerkan jiwa yang lebih besar, keinginan lebih tinggi, lebih agresif dalam perebutan bola. Jika anda tidak mempamerkan aspek berikut, anda tidak akan menang dalam aksi Bundesliga.”

Dortmund masih boleh menentukan nasib mereka sendiri apabila bertandang ke Hoffenheim pada minggu depan dan Schurrle menyifatkan seluruh pasukannya tidak akan hilang fokus di bawah tekanan.

“Tidak. Kami mempunyai pemain yang cukup untuk mengawal keadaan dalam aksi sebegitu.

“Hoffenheim telah membuktikan dalam beberapa tahun terakhir bahawa mereka mampu mencatat kemenangan dengan perbezaan dua atau tiga gol. Kami telah diberi amaran, jadi kami harus bertahan dengan baik.”