Marcel Schmelzer mengumumkan dirinya telah melepaskan lilitan ketua pasukan skuad Borussia Dortmund.

Pemain bek kiri itu merupakan produk skuad belia Dortmund dan telah menggalas tanggungjawab itu sejak dua musim lepas.

Bagaimanapun, Schmelzer yang digugurkan oleh Peter Stoger pada bulan lalu memberitahu dirinya telah melepaskan tanggungjawab itu atas alasan telah penat.

"Terdapat dua musim yang memerlukan tenaga yang banyak," kata Schmelzer.

"Ia adalah keputusan saya dan dilakukan kerana berasa itu langkah terbaik.

"Aksi pada menentang Los Angeles FC akan menjadi perlawanan terakhir saya sebagai ketua pasukan Dortmund.

"Saya berbangga telah mengetuai pasukan ini selama dua tahun serta berupaya meraih beberapa gelaran bersama skuad, antaranya sebagai ketua pasukan."

"Saya juga berasa ramai pemain lain dalam pasukan yang layak dan mampu untuk memegang status ketua pasukan.

"Ia juga atas dasar pasukan yang inginkan perubahan baru pada musim panas ini. Jadi, lilitan ketua pasukan juga harus dipilih semula," tambahnya.

Dortmund mengumumkan pelantikan Lucien Favre sebagai pengurus baru pada minggu ini, menyaksikan pengendali dari Switzerland itu meninggalkan Nice untuk menggantikan Stoger.