Pemain baru Atletico Madrid, Felipe, tidak berminat untuk menjadi pengganti kepada Diego Godin.

Godin menandatangai kontrak tiga tahun dengan Inter Milan untuk menamatkan tempoh sembilan tahunnya di ibu kota Sepanyol itu selepas memenangi satu kejuaraan LaLiga selain dua penampilan final Liga Juara-Juara Eropah -- tewas kedua-duanya kepada seteru setempat, Real Madrid.

Selepas menyertai Atletico dengan kontrak tiga tahun dan perpindahan bernilai €20 juta (RM93.4 juta), Felipe dijangkakan untuk menjadi pengganti terbaik Godin, yang juga bekas kapten pasukan itu.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu tidak berasa tertekan untuk mengikuti jejak yang ditinggalkan legenda era moden pasukan berkenaan.

"Godin adalah Godin. Dia pemain hebat yang telah membina kisah yang hebat.

"Saya di sini untuk membina kisah saya. Saya mahu memainkan peranan yang besar.

"Saya tahu ini merupakan kelab yang besar.

"Saya amat menginginkan untuk ke sini. Saya mempunyai sasaran besar dan mahukan musim yang hebat," katanya.

Atletico sedang menjalani penstrukturan semula selepas Lucas Hernandez menyertai Bayern Munich dan pertahanan kanan veteran, Juanfran, turut akan meninggalkan pasukan.

Penyerang, Antoine Griezmann, turut mengumumkan hasratnya untuk beralih arah manakala pertahanan kiri, Filipe Luis, juga dijangka akan melakukan perkara sama.

Pemain tengah Sepanyol, Rodri, sedang melengkapkan perpindahannya ke Manchester City, namun Atletico akan diperkuatkan dengan bekas pemain Madrid, Marcos Llorente.