Saul Niguez menegaskan Atletico Madrid akan tetap menjadi "kediamannya' walaupun dipalit spekulasi perpindahan sambil menjelaskan dia tidak pernah berunding dengan mana-mana kelab mengenai kemungkinan akan berhijrah.

Saul memeterai kontrak baru selama sembilan tahun bersama Atleti pada 2017, namun perjanjian jangka panjang itu tidak menyekat khabar angin mengenai masa depan pemain antarabangsa Sepanyol berkenaan.

Manchester United semakin hangat dikaitkan dengan pemain tengah itu, namun dia beranggapan media sengaja mensensasikan laporan berkenaan.

Saul menjelaskan bahawa dia gembira untuk berada di kota Sepanyol itu termasuk membantu skuad bimbingan Diego Simeone itu menghuni tangga keempat LaLiga musim ini.

Ya queda poco!!! ?? días para @laliga ⚽

A post shared by Saul Ñiguez (@saulniguez) on



"Saya terbaca banyak laporan di Instagram atau di surat khabar tetapi saya belum mendengar apa-apa tawaran daripada mana-mana kelab," katanya kepada Radio Marca.

"Saya mahu fokus untuk menamatkan musim ini, mencapai objektif (di kelompok empat teratas) dan memasang impian terhadap Liga Juara-Juara (UCL).

"Saya terikat dengan kontrak jangka panjang yang saya tandatangani kerana mahu kekal di sini. Saya tidak menghadapi masalah untuk kekal di sini kerana keluarga saya ada di sini, ia sudah menjadi kediaman saya.

"Orang ramai menuntut saya supaya 'bertindak menafikannya' tetapi jika saya melakukannya, kemudian sesuatu berlaku maka saya akan kelihatan buruk.

"Saya hanya akan tetap bermain bola sepak dan apa yang terjadi akan terjadi. Namun, fokus saya hanya untuk mencapai sasaran bersama Atletico yang kini di keempat jadi harus berusaha untuk mencapai sasaran yang paling diinginkan musim ini."

Atletico kembali menyambung baki saingan musim ini apabila bakal bertandang ke Athletic Bilbao malam esok untuk perlawanan pertama mereka sejak musim 2019-20 tertangguh kerana wabak COVID-19.

Mereka tidak beraksi sejak kemenangan 3-2 ke atas Liverpool di Anfield dalam kancah UCL 11 Mac lalu, sekali gus menyingkirkan juara bertahan itu untuk mara ke suku akhir.