Thomas Tuchel mendedahkan bahawa Saul Niguez telah lama menjadi sasaran Chelsea dan pemain yang dipinjamkan daripada Atletico Madrid itu akan melakukan penampilan pertamanya ketika berdepan Aston Villa dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.

Pemain berusia 26 tahun itu memenangi LaLiga bersama Atletico musim lalu sebelum menyertai The Blues secara pinjaman semusim -- pasukan bimbingan Tuchel itu dilaporkan boleh melakukan pembelian secara tetap dengan nilai £30 juta (RM171.69 juta) selepas membayar yuran pinjaman awal sebanyak £5 juta (RM28.61 juta).

Ketika Chelsea kelihatan akan menjadi pasukan kedua selepas Manchester United merekodkan 600 kemenangan dalam EPL,Tuchel menjelaskan bahawa penampilan pertama pemain barunya itu sudah dirancang sejak sekian lama.

"Dia sudah bersama kami selama dua minggu," katanya kepada wartawan.

"Dia bermain di tahap tertinggi. Saya fikir gambarannya amat jelas. Kelab ini telah mengikuti perkembangannya sejak bertahun-tahun lalu.

"Kami amat mengenali pemain ini. Dia dapat segera menyesuaikan diri dengan Marcos Alonso dan Kepa (Arrizabalaga), kami mengalu-alukan kedatangannya dalam pasukan ini.

"Dia akan bersama skuad kami esok, Jorginho tidak mungkin terlepas sebarang perlawanan bersama Itali walaupun mereka sedang mendahului 5-0, jadi dia agak keletihan. Terdapat kemungkinan untuk Saul bermain buat kami," katanya.