Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, tidak meragui kemampuan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk menguruskan pasukan bola sepak Malaysia.

Semalam, bekas presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 2017-18 tersebut memohon keizinan badan induk itu selepas melihat prestasi longlai Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

"Saya terkejut. Mesti Tunku Ismail sudah kaji dan selidik sebab itu baginda yakin.

"Kita kena ingat kemudahan terbaik adalah di JDT (Johor Darul Ta'zim).





"Dia (akan bertindak) seperti pengurus, 'supremo'. dia mampu buat perubahan. Kita tahu kejayaan singkatnya di JDT.

"Dengan tindakan beraninya membuat kenyataan seperti itu, saya tahu tunku tentu dah selidik tapi kita kena paham, pasukan kebangsaan memerlukan masa.

"Tapi mestilah ada perubahan dan peningkatan. Ada program pendek, pertengahan dan panjang. Kita bagi ruang kepada sesiapa sahaja yang nak ambil alih pasukan ini," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.

"Ia juga terarah kepada supremo tentang arah tuju latihan , kemudahan, kawal pemain.

"TMJ tidak akan buat pengumuman kalau tidak pasti. Mesti baginda ada ambil pandangan daripada pemain JDT dan yang lain.

"Ini yang saya terkejut, (ini petanda) dia yakin dengan kebolehan pasukan kebangsaan," katanya lagi.





Sungguhpun turut bertindak sebagai pemilik JDT, Sathianathan selaku Pengarah Teknikal Kuching City juga percaya langah itu sama sekali tidak menimbul kepentingan konflik.

"Saya pun hairan, sekarang orang pun cakap semua pemain kebangsaan ketika ini ialah daripada JDT, jadi apa salah dia ambil alih.

"Saya pernah cakap jangan sebuah kelab sahaja yang ingin membangunkan kelab. JDT yang memulakan pendekatan semua ini. Kemudahan yang baik, ambil pemain yang baik.

"Ini amat penting, apa kata kita bagi peluang untuk baginda membuktikannya," katanya.

Namun, Sathianathan tidak melihat FAM memerlukan satu perubahan drastik untuk memacu Harimau Malaya, termasuk membabitkan pengendalinya, Tan Cheng Hoe, dan tonggak naturalisasi.

"Dia tidak sebut tentang Tan Cheng Hoe, mungkin ada perancangan lain untuknya.

"Mungkin Cheng Hoe boleh mengisi kekosongan jawatan skuad B-23 negara selain bertindak sebagai pembantu pasukan kebangsaan.

"Sebelum ini siapa yang letak Cheng Hoe untuk menggantikan Nelo Vingada.

"Orang kutuk TMJ pernah menjadi presiden FAM (tetapi masih gagal meningkatkan prestasi negara).

"Masa baginda jadi presiden, baginda perlu jaga ahli gabungan, FAM dan kekurangan dana MFL (Liga Bolasepak Malaysia) masa itu untuk diberikan kepada semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana. Dia akhirnya berjaya berikan. Itulah tumpuannya ketika itu.

"Kali ini baginda minta uruskan pasukan negara. Saya yakin boleh berjaya," katanya.





Malaysia merekrut tiga pemain naturalisasi yang terdiri daripada Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.

Namun, percaturan itu belum cukup ampuh untuk Malaysia lebih menyerlah, bahkan prestasi skuad pada 2019 dianggap lebih meyakinkan peminat.

"Saya sebenarnya tiada dalam (barisan) jawatankuasa program naturalisasi baru yang diketuai Datuk Wira (Yusoff Mahadi), saya tidak tahu tentang kriteria pemilihannya. Itu terpulang kepada siapa yang pilih dua pemain ini. Itu (keputusan) FAM.

"Malaysia cuma perlu dapatkan orang yang betul-betul berpengalaman, bertauliah yang tahu pasal pemain, pihak yang mempunyai kemampuan teknikal -- individu yang pernah mewakil pasukan kebangsaan dan jurulatih.

"Lagi satu (adalah mustahak mengambil kira) permintaan ketua jurulatih seperti gaya permainan yang dihajati.

"Dalam kejohanan akan terdekat iaitu Piala AFF pada hujung ini, mestilah nampak perubahannya.

"Saya tidak mahu menuntut kejuaraan. Tapi biarlah corak permainan, semangat dan keazaman pemain semakin meningkat. Mereka perlu buktikan bahawa betul-betul layak main untuk pasukan negara.

"Mereka perlu tunjuk tahap di peringkat kebangsaan, tapi usahlah letak jangkaan tinggi dengan segera untuk kalahkan Iran, Jepun mahupun Korea Selatan. Semua ini kena ambil masa.

"Saya baca kat media banyak sasaran tidak realisitik disuarakan, aturlah langkah satu persatu."