Maurizio Sarri sekali lagi mempersoalkan keupayaannya untuk memotivasikan Chelsea yang didakwanya "berhenti bermain" selepas diaibkan Bournemouth 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sambil menjelaskan dia tidak berasa tertekan dengan situasi itu.

Bekas pengurus Napoli itu mengurung pemain, termasuk kakitangan kejurulatihannya di dalam bilik persalinan di Stadium Vitality selama 45 minit susulan kekalahan di pantai selatan England itu.

Sarri mempersoalkan motivasi skuad Chelsea selepas kekalahan 0-2 di Arsenal, 11 hari lalu, dan meskipun meraih kemenangan ke atas Tottenham dan Sheffield Wednesday dalam aksi Piala Liga Inggeris (EFL) dan Piala FA selepas itu, dia sekali lagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap aksi anak buahnya.

"Sangat sukar untuk saya mengulas persembahan kami hari ini. Kami bermain dengan baik dalam babak pertama," kata Sarri selepas menyaksikan penjaring dua gol, Joshua King, membuka tirai jaringan pada minit ke-47 disusuli gol sumbangan David Brooks dan pemain gantian, Charlie Daniels.

"Kami melepaskan gol sebaik dua minit perlawanan bersambung. Dalam fasa serangan, kami bermain bukan sebagai sebuah pasukan, sebaliknya dengan kemampuan individu dan tidak bertahan dengan baik.

"Kami mempunyai baki 43 minit lagi untuk bangkit, oleh itu kami perlu mencari jalan.

"Bagaimanapun, bukannya dengan reaksi semacam itu, jadi sangat sukar untuk saya memahami sebabnya.

"Saya mahu cuba menyelami masalah tersebut selepas perlawanan ini. Saya sempat bercakap dengan pemain selepas perlawanan tetapi mereka juga hilang arah. Jadi, esok saya perlu cuba lagi kerana saya perlu memahami puncanya kerana saya perlu menyelesaikan masalah ini."

Isu motivasi sekali lagi ada dalam agenda Sarri yang menganggap Chelsea tidak sepatutnya tunduk dengan situasi berkenaan ketika menentang salah sebuah kelab hebat dalam Liga Perdana.

"Mungkin kami tidak berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana buat masa ini tetapi kami berdaya saing," katanya selepas pasukannya jatuh ke tangga kelima di bawah Arsenal.

"Kami tidak boleh kalah 0-4 kepada Bournemouth. Saya mahu menghormati Bournemouth dan saya sangat mengagumi pengurus, Eddie Howe, namun bukan dengan kekalahan 0-4 di sini."

Pengurus berusia 60 tahun itu juga lebih rela dibenci tetapi tidak berasakan jawatannya terancam.

"Mungkin ini salah saya, mungkin saya tidak dapat memberi motivasi kepada mereka," katanya.

"Tetapi pasukan ini sangat mantap, mereka juga mampu meraih kemenangan tanpa kehadiran jurulatih.

"Saya berasa kecewa tetapi tidak tertekan. Saya tidak nampak kemajuan di bawah bimbingan saya, sebab itulah saya kecewa," katanya lagi.