Jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan, menegaskan keputusan semasa membabitkan perlawanan Negeri Sembilan malam tadi tidak mempengaruhi aksi anak buahnya ketika sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

Bagaimanapun, Elavarasan tetap berpuas hati dengan pencapaian naib juara Liga Perdana itu walaupun pasukannya dibarisi ramai pemain ternama.

"Apabila sudah sampai ke peringkat ini, kami tidak mahu (mengambil) tahu keputusan (yang diraih) pasukan lain.

"Selepas mendahului pada awal permainan, kami terlalu berhati-hati ketika bertahan dan hanya melancarkan serangan balas, (dalam situasi itu) kami mungkin boleh menambah satu gol lagi atau kekal 1-0.

"Tapi dalam separuh masa kedua, mereka banyak melancarkan hantaran silang. Kami ada beberapa peluang juga cuma tidak dapat menambah gol," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.





Pengendali Enggang Emas itu, bagaimanapun, tidak mahu terlalu meratapi kehilangan tonggak utama seperti Shabinee Allawee, Amer Saidin dan Badrul Affendy Fadzli akibat pergantungan berikutan masalah disiplin ketika bertemu Negeri Sembilan, dua minggu lalu.

Ini apabila mereka bakal mengharungi cabaran hebat dalam Kumpulan A bertemu Penang, Kuala Lumpur City dan Sri Pahang sempena Piala Malaysia yang bermula Ahad ini.

"Sudah pasti (saya bakal) kehilangan tiga pemain selepas ini (kerana penggantungan) tapi inilah bola sepak. Kami perlu berdepan keadaan tidak dijangka ini dan ia boleh berlaku.

"Tapi kami akan mempertaruhkan pemain lain dan mereka perlu menggalas tanggungjawab ini," katanya.