Presiden Sarawak United FC, Datuk Posa Majais, mengesahkan pasukannya berdepan tunggakan gaji untuk tempoh hampir empat bulan.

Menurut Posa, semua tunggakan gaji akan diselesaikan dalam tempoh selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Tunggakan gaji dengan jumlah anggaran RM2 juta itu melibatkan barisan pemain dan juga barisan kejurulatihan Sarawak United FC.

Mengakui kecewa dengan permasalahan tersebut, Posa memberikan jaminan segalanya akan diselesaikan selepas peruntukan baru diluluskan kepada pasukan.

Untuk rekod, Sarawak United sebelum ini pernah dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji kepada bekas pemain import kelahiran Brazil, Sandro da Silva.

"Kami telah mendapatkan kelulusan daripada pihak berkenaan dan bakal menyelesaikan tunggakan gaji itu dalam tempoh dua minggu ini," katanya ketika dihubungi Nadi Arena.