Santos menggantung kontrak Robinho berikutan kes serangan seksual walaupun mereka memeterai kontrak minggu lalu.

Robinho kembali ke Santos buat kali ketiga minggu ini tetapi kelab itu dipalit dengan isu serangan seksual yang melibatkannya satu ketika dulu.

Bekas penyerang Milan itu dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun oleh mahkamah Itali pada 2017 kerana didakwa memperkosa seorang wanita yang berusia 22 tahun di sebuah kelab malam pada 2013.

Dia telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu selepas menafikan telah membuat kesalahan tetapi hukuman berkenaan kekal.

Sebuah francais pergigian Brazil, Orthopride, mengancam untuk menarik penajaan terhadap Santos atas alasan "tidak menghormati wanita", sementara beberapa syarikat lagi dikatakan sedia mengambil tindakan terhadap kelab itu.

Dalam sebuah video yang disiarkan di Instagram, Robinho berkata: "Dengan kesedihan yang teramat, saya ingin memberitahu anda bahawa saya telah mencapai keputusan bersama presiden kelab untuk menangguhkan kontrak saya pada saat sukar dalam hidup saya ini.

"Saya berhasrat untuk membantu Santos. Sekiranya kehadiran saya ini menyusahkan maka lebih baik saya meninggalkan pasukan dan memberi perhatian kepada isu peribadi saya. Buat peminat Santos dan peminat saya, saya akan membuktikan bahawa saya tidak bersalah."

Pengumuman itu dibuat selepas sebuah media Brazil, Globo Esporte, menerbitkan petikan daripada dokumen dan beberapa rakaman kes membabitkan bekas bintang Manchester City dan Real Madrid tersebut sebagai bukti mereka.