Masa depan Cristiano Ronaldo bersama kelabnya mungkin masih tiada kepastian tetapi ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, berkata bintang berusia 36 tahun itu sedang mengimpikan untuk bermain dan memenangi Piala Dunia tahun depan.

Ronaldo sedang dikaitkan untuk meninggalkan Juventus pada penghujung musim ini dan terdapat spekulasi melibatkan penyerang itu dengan kelab Liga Utama Amerika Syarikat (MSL) dan kepulangan ke Real Madrid.

Pun begitu, Santos tampil menjelaskan bahawa pemenang Anugerah Ballon d'Or lima kali itu sedang komited bersama pasukan Portugal untuk beraksi dalam Piala Dunia ketika mereka memburu gelaran pertama piala yang menggantikan Trofi Jules Rimet itu.

"Cristiano mempunyai impian yang besar, itu sahaja yang saya tahu," kata Santos.

"Dia mempunyai impian besar untuk menyertai kejohanan yang kami sasarkan, untuk menyasarkan bermain dalam Piala Dunia dan memenanginya.

"Itulah sasaran utamanya dan selebihnya tidak patut berada dalam pasukan kebangsaan kami," katanya.

Ronaldo pernah beraksi dalam empat edisi Piala Dunia dengan pencapaian terbaik Portugal adalah menduduki tangga keempat dalam edisi di Jerman pada 2006 manakala mereka disingkirkan dalam pusingan 16 edisi 2010 dan 2018.

Portugal menduduki tangga ketiga edisi 1966 sebelum gagal layak ke kejohanan itu selama 20 tahun.

Mereka memenangi Euro 2016 dan Ronaldo menjaringkan tiga gol sepanjang kempen itu tetapi terpaksa dikeluarkan dalam final gara-gara kecederaan.

Portugal akan kembali beraksi secara kompetitif bulan ini dalam pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Azerbaijan, Serbia dan Luxembourg.