ARGENTINA 10 ARAB SAUDI 1

Tidak sukar untuk dibayangkan jika ada yang menganggap angka tersebut merupakan skor akhir perlawanan di antara kedua-dua negara dalam Piala Dunia 2022 yang berlangsung semalam.

Sebelum perlawanan itu, Argentina menikmati rentetan 36 perlawanan tanpa kalah, serta tahun ini disebut-sebut sebagai tahun mereka bakal merampas semula trofi Piala Dunia demi menjadikannya hadiah terakhir buat Lionel Messi sebelum bersara.

Malang sekali, angka tersebut adalah kiraan ofsaid kedua-dua pasukan, bukannya skor akhir dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Lusail yang berkesudahan Argentina 1 Arab Saudi 2.

Mengejutkan sekali keputusan itu, mengejutkan lagi persembahan yang dipamerkan oleh The Green Falcons semalam.

Setelah membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Messi seawal minit ke-10, Argentina dilihat bakal mudah meratah lawan apabila Lautaro Martinez menyumbat masuk gol kedua selang 18 minit kemudian.



Namun, hasil penelitian sistem VAR, gol itu dibatalkan kerana ofsaid.

Jika penyokong Argentina sakit hati dengan keputusan itu, bayangkan perasaan mereka apabila skrip yang sama berulang sebanyak dua kali lagi dalam tempoh 20 minit seterusnya -- gol jaringan Martinez dan Messi kedua-duanya sekali lagi tidak sah akibat ofsaid juga.

Menurut kajian laman sesawang soccerprime.com, sistem perangkap ofsaid ini telah dipelopor oleh kelab dari England, Notts County, pada awal abad ke-20 sebelum kemudiannya berkembang dan diguna pakai oleh banyak kelab dan pengurus di seluruh dunia.

Menariknya, salah seorang pengurus yang terkenal dengan penggunaan sistem ini adalah pengurus warganegara Argentina sendiri, Osvaldo Zubeldia, yang mengendalikan kelab Estudiantes pada tahun 1965 hingga 1970.

Dengan penguasaan sistem ini, Estudiantes berjaya meraih keputusan seri 1-1 ketika menentang Manchester United -- satu keputusan yang dianggap cukup mengejutkan kerana United ketika itu dibarisi oleh trio penyerang legenda mereka, George Best, Bobby Charlton dan Denis Law -- ketiga-tiganya gagal memberikan impak akibat perangkap yang digunakan.

Sistem ini tidak begitu digemari pada zaman bola sepak moden kerana ia memerlukan barisan pemain pertahanan untuk bergerak sebagai satu unit demi memastikan mereka berada dalam posisi yang betul untuk membatalkan serangan pihak lawan.

Ia memerlukan konsentrasi yang tinggi, serta keberanian untuk mengambil risiko besar.

Satu kesilapan kecil sekalipun bakal menyaksikan pemain penyerang pasukan lawan bebas berlari ke arah pintu gol dan berhadapan dengan situasi satu lawan satu menentang penjaga gol.

Risiko itu bagaimanapun diambil dengan penuh jayanya oleh Arab Saudi semalam.

Setelah mengekang Argentina sepanjang separuh masa pertama dan mengehadkan jumlah serangan yang mereka lakukan, Arab Saudi memulakan babak kedua dengan meningkatkan kadar serangan sendiri.

Siapa sangka dua penyerang kelab Al-Hilal, Saleh Al-Shehri dan Salem Al-Dawsari, mampu merobohkan barisan pertahanan Argentina yang dianggotai oleh pemain-pemain dari kelab terkemuka seperti Tottenham Hotspur dan Atletico Madrid dalam tempoh lima minit sahaja.

Daripada asalnya mendahului, Argentina seolah-olah hilang pertimbangan dan segala unsur ketenangan sebaik sahaja mereka ketinggalan.

Percubaan demi percubaan dilancarkan tetapi setiap satunya ditangani dengan penuh kecekapan oleh kesebelasan pemain Arab Saudi.

Tidak ada seorang pun pemain Arab Saudi yang beraksi bersama kelab terkemuka Eropah mahupun kelab-kelab gergasi di benua lain, namun perbezaan di antara mereka dan barisan bintang-bintang Argentina seolah-olah tidak wujud sama sekali.



Setelah wisel penamat ditiupkan, tiada apa lagi yang mampu Argentina lakukan selain belajar daripada kesilapan dan berazam untuk tidak mengulanginya dalam perlawanan akan datang.

Dalam temu bual pasca perlawanan, Messi menegaskan bahawa segalanya berlaku atas sebab tersendiri dan kini mereka harus memburu kemenangan tidak kira apa pun.

Apa yang lebih menarik lagi adalah bagaimana Mexico dan Poland, dua pasukan lain dalam kumpulan yang sama, bakal berhadapan dengan Arab Saudi nanti.

Jika The Green Falcons yang menjuarai Kumpulan C ini, bukankah ia pastinya menggegarkan seluruh dunia yang menyaksikan?