Leroy Sane akan menjalani pembedahan lutut selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL), demikian disahkan pasukannya, Manchester City.

Pemain sayap itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-13 ketika menentang Liverpool dalam saingan Perisai Komuniti, hujung minggu lalu selepas bertembung dengan Trent Alexander-Arnold.

Hasil ujian mendapati dia mengalami kecederaan ligamen di lutut kanannya, namun City masih belum mendedahkan tempoh rehat pemain itu walaupun kecederaan ACL memerlukan tempoh pemulihan yang panjang.

"Dia telah menjalani ujian sepanjang minggu ini, dengan doktor pakar yang hadir ke Manchester untuk pemeriksaan lanjut bagi memahami tahap kecederaannya," kata City dalam satu kenyataan.

"Leroy akan menjalani pembedahan minggu depan. Manchester City akan memberikan Leroy segala sokongan dan bimbingan yang diperlukannya, dan setiap orang dalam kelab ini mendoakan agar dia dapat cepat pulih sepenuhnya."

Sane sedang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich, yang berminat untuk menandatangani pemain sayap baru selepas kehilangan gandingan veteran, Arjen Robben dan Franck Ribery.

Ketua jurulatihnya, Nico Kovac, terpaksa memohon maaf selepas secara terbuka mendedahkan keyakinannya untuk melengkapkan perpindahan Sane.

Ia masih belum jelas sama ada situasi itu akan memaksa Bayern untuk memburu sasaran lain dengan pemain Barcelona, Ousmane Dembele, dan tonggak Ajax, Hakim Ziyech, turut dikaitkan dengan pasukan itu.

Sane, yang menyertai City daripada Schalke pada 2016, menjaringkan 10 gol daripada 31 penampilannya dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu.