Pendatang baru Serie A, Salernitana, cuba memancing Franck Ribery sambil menganggap kehadiran pemain sayap veteran itu mampu mencipta impak yang sama seperti perpindahan Diego Maradona ke Napoli.

Ribery, 38, boleh ditandatangani secara percuma selepas meninggalkan Fiorentina pada akhir musim lalu.

Bekas pemain antarabangsa Perancis itu jelas sudah melangkaui zaman kemuncaknya selepas memenangi Liga Juara-Juara (UCL) bersama Bayern Munich lapan tahun lalu, tetapi dia masih mampu menyumbang lima gol dan sembilan bantuan jaringan dalam 50 perlawanan Serie A untuk Fiorentina -- mencipta 70 peluang dan melengkapkan 117 hantaran ke gawang.

Pengarah Sukan Salernitana, Angelo Fabiani, percaya bahawa membawa Ribery akan membawa aura seperti perpindahan Maradona ke Napoli pada 1984.

Legenda Argentina itu meletakkan dirinya sebagai salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman selepas tujuh tahun di Naples pada 1980-an dan awal 1990-an dengan memenangi dua Scudetto buat Partenopei pada 1986-87 dan 1989-90.

Bagaimanapun, Ribery tidaklah dijangka akan memenangi permainan sendirian seperti Maradona.

Salernitana telah pun melengkapkan satu perpindahan penyerang, Simy, yang dipinjam daripada Crotone selepas menjaringkan 20 gol liga musim lalu.




Justeru, Fabiani berasakan Salernitana sudah memiliki skuad mantap di sebalik dua kekalahan awal musim ini, tetapi kedatangan Ribery mampu menambah sengat mereka.

"Memang benar ada minat terhadap pemain ini," katanya kepada Radio Kiss Kiss Napoli.

"Tetapi untuk menyempurnakan ikatannya, anda mesti mempunyai persetujuan dua pihak.

"Kami berminat. Untuk mencapai kesepakatan memerlukan waktu selain perbincangan berterusan. Ia bukan masalah berkaitan ekonomi, tetapi soal kemampuan.

"Salernitana mungkin berminat, tetapi persetujuan pemain juga mesti dicapai.

"Di Salernitana, bukan berkenaan Simy semata-mata. Kami mempunyai pasukan ampuh yang dibentuk ramai pemain. Pasukan ini lengkap di semua posisi.

"Kalau begitu, Ribery ibarat meletakkan ceri di atas kek kami.

"Membawa Ribery ke Salerno seperti Maradona ke Naples. Dia mampu menaikkan visi global bola sepak di pasaran buat kami.

"Memang ada tawaran dan dia sedang mempertimbangkannya. Kami beryakinan."