Mohamed Salah menzahirkan penghargaan buat Sadio Mane selepas pemain kebangsaan Senegal itu memilih untuk meninggalkan Liverpool bagi menyertai Bayern Munich dengan tanda harga €41 juta (RM190.78 juta).

Mane diperkenalkan sebagai pemain terbaru Bayern malam tadi selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan pasukan juara Bundesliga berkenaan, yang mula memperkuatkan jentera serangan mereka sebaik Robert Lewandowski dikaitkan untuk menyertai Barcelona.

Pemain kebangsaan Senegal itu menjaringan 90 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang enam tahun bersama Liverpool, di mana hanya Salah (118 gol) mempunyai rekod lebih baik sepanjang tempoh berkenaan.

Selepas Jurgen Klopp melabel Mane sebagai antara pemain terbaik Liverpool sejak ketibaannya, gandingan Mane di bahagian serangan, Salah, mengucapkan terima kasih atas sumbangan pemain itu bagi kejayaan era mereka.

"Ia satu perjalanan yang agak panjang," tulis salah dalam satu ciapan Twitter di samping beberapa gambar kejayaannya bersama Mane.

"Terima kasih atas semua waktu yang hebat ini dan saya mendoakan yang terbaik buat pengembaraan baru anda.

"Anda akan dirindui oleh kami semua."