Mohamed Salah tetap menjadi tonggak berpengaruh buat Liverpool walaupun bintang Mesir itu bergelut untuk menyamai pencapaian hebat musim lalu, kata rakan sepasukan, Trent Alexander-Arnold.

Salah menyumbat 44 gol dalam semua kejohanan ketika menikmati musim pertama bersama The Reds selepas meninggalkan AS Roma tetapi tampak kurang berkesan di permulaan musim ini.

Penggempur itu, yang mengalami kecederaan bahu sewaktu aksi final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, yang berakhir dengan Liverpool tewas, hanya menjaringkan satu gol sejak Ogos lalu.

Namun, Alexander-Arnold berasa tahap jangkaan yang diberikan kepada pemain berusia 26 tahun itu sehingga muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris merupakan sesuatu yang tidak adil.

"Dia menikmati musim yang cemerlang sebelum ini, jadi ia sentiasa sukar untuk mengulanginya," ujar Alexander-Arnold.

"Namun, saya rasa dia sedang terus meningkat berbekalkan bakat serta peranan utama dalam permainan satu pasukan. Dia juga sedang meningkatkan persembahan di atas padang.

"Tidak kira sama ada Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara Eropah, momentum pasukan harus diteruskan. Sama juga dalam mana-mana trofi yang cuba anda rebut, anda harus fokus terhadap lawan yang menanti.

"Tidak kira apa sahaja cabaran, kami tidak akan memandang mudah, cuba berjuang dan mengejar seberapa banyak kejuaraan yang boleh."

Selepas diketepikan daripada kesebelasan utama ketika Liverpool terikat seri tanpa jaringan dengan Manchester City, awal pagi semalam, Alexander-Arnold akan membarisi skuad England bagi saingan Liga Negara-Negara UEFA menjelang pertemuan dengan Croatia dan Sepanyol.

Alexander-Arnold melalui musim yang memukau sebelum ini dan melakukan satu penampilan ketika Piala Dunia walaupun skuad kendalian Gareth Southgate itu mara ke kelompok empat terbaik.

"Kami kecewa setelah gagal mengatasi Croatia. Kami mahu mara ke final dan menjuarai saingan," tambahnya.

"Itu matlamat utama, mahu terus mara dan bekerja keras. Diharapkan, dalam tempoh dua tahun lagi menjelang EURO 2020, kami dapat terus berkembang."