Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan Mohamed Salah dalam percaturannya untuk menghadapi Leicester, awal pagi Jumaat ini, di sebalik kekecewaan dalam final Piala Negara-Negara Afrika Mesir (AFCON), kelmarin.

Salah beraksi sepanjang 120 minit ketika tewas kepada Senegal menerusi penentuan sepakan penalti selepas buntu jaringan.

Pemain berusia 29 tahun itu kembali menjalani latihan bersama The Reds, kurang 48 jam kemudian dan telah menyatakan bahawa dia sudah bersedia untuk menentang Leicester di Anfield.

"Mo telah kembali. Saya sudah bercakap dengannya," katanya laman sesawang rasmi kelab Merseyside itu.




"Sudah tentu dia dilanda kekecewaan tetapi sekarang dia tidak sabar-sabar lagi untuk mengharungi cabaran di sini.

"Saya sempat bercakap dengannya dan perkara pertama yang Mo beritahu saya ialah: 'Saya sudah bersedia'.

"Dia seorang pemain berpengalaman; sejujurnya memiliki tahap fizikal yang mantap jadi kita perlu lihat.

“Dia pastinya akan menjalani sedikit sesi pemulihan dan kami akan lihat sejauh mana perasaannya esok dan dari situ kami akan tentukan (kedudukannya).

“Kami tiada perancangan yang khusus, pelannya ialah menurunkannya sekerap yang boleh tetapi kami tidak akan tergesa-gesa.

"Tetapi jika dia baik-baik saja, kami juga tidak akan meminggirkannya atas sebab yang tidak betul, jadi mari kita lihat."