TOTTENHAM 2 ARSENAL 3

Bukayo Saka menyanjungi semangat juang Arsenal ketika mereka mengharungi kebangkitan lewat Tottenham untuk meraih tiga mata dalam 'derby' London utara, tengah malam tadi.


Skuad kendalian Mikel Arteta itu menang 3-2 di Stadium Tottenham Hotspur untuk melebarkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada empat mata bagi mengatasi Manchester City di tangga kedua dengan baki tiga perlawanan, namun Citizens masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan.

The Gunners mendahului 3-0 sebelum rehat dengan Saka dan Kai Havertz menemui penyudah gol selepas gol sendiri Pierre-Emile Hojbjerg memecah kebuntuan perlawanan.

Gol ke-15 pemain sayap itu musim ini -- jumlah tertingginya dalam semusim -- menyaksikannya muncul pemain Arsenal Inggeris pertama yang menjaringkan gol di tempat sendiri dan di tempat lawan ke atas Tottenham selepas kali Ian Wright melakukannya pada 1993-94.

Bagaimanapun, pasukan pelawat berdepan cemas pada saat-saat akhir selepas Cristian Romero menghukum kesilapan David Raya untuk sebelum sepakan penalti Heung-Min Son pada minit ke-87 yang secara tidak langsung merancakkan perlawanan.

Begitupun, mereka bertahan untuk tiga mata dan walaupun takdir gelaran di tangan mereka, namun perjalnan mereka masih liku.

"20 minit terakhir tidak bagus tetapi berbaloi," katanya kepada Sky Sports.




"Kami tahu ia adalah derby yang mustahak dan mereka tidak mahu tewas 0-3 di laman sendiri. Sebaik sahaja mereka mendapatkan satu gol, penonton bangkit dan momentum beralih arah. Tetapi saya bangga dengan barisan pemain saya. Kami berjuang hingga tamat perlawanan dan memungut tiga mata.

"Kami membuktikan kemampuan sebenar kami hingga di penghujung perlawanan dan saya bangga meraih kemenangan. Kami tahu betapa besar ertinya kepada peminat dan kami, jadi kami gembira.

"Ini adalah kemenangan besar buat kami. Kami masih mempunyai tiga perlawanan lagi, kami akan mencurahkan segala kudrat.

"City merupakan pasukan yang menakjubkan tetapi mereka tidak sempurna.

"Tiada siapa yang sempurna, mereka boleh keciciran mata. Kami hanya perlu melakukan tugas kami dan melihat ke mana ia akan membawa kami."