Pemaing paling bernilai Liga Malaysia musim 2015, Safiq Rahim, meluahkan keinginannya untuk bersara di Johor Darul Ta'zim (JDT).

Jelas pemain berusia 34 tahun itu, dia ibarat jatuh cinta kali kedua dengan bola sepak selepas diberikan peluang untuk kembali menyertai Harimau Selatan musim lalu.

Menerusi satu perkongsian dengan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Safiq -- yang ketika ini sedang berada di Dubai bagi menjalani sesi latihan pramusim JDT -- turut mendedahkan mengenai kesediaannya untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan sebelum menamatkan karier profesionalnya.

"Ia seperti hidup kita, apabila kita mendapat rezeki, apabila kita mendapat peluang, kita tidak akan mensia-siakan rezeki atau peluang yang telah diberikan sekali lagi.

"Saya hanya fikir ia adalah peluang untuk saya bangkit, kembali memberikan yang terbaik untuk pasukan dan terutama buat diri saya.

"Memang tiada siapa dapat menyangka perkara itu akan berlaku.

"Saya katakan kepada diri saya bahawa saya perlu membalasnya dengan sesuatu yang setimpal dengan kepercayaan yang telah mereka berikan kepada saya.

"Hidup sebagai seorang pemain bola sepak amat singkat, ringkas, itu sahaja, jadi anda perlu menghargai apa yang anda ada ketika ini sebelum anda terlambat. Alhamdulillah, syukur.

"Saya kira, selepas saya meninggalkan JDT dahulu, saya sudah boleh berhenti, saya sudah boleh tutup buku.

"Tetapi ada sesuatu yang tidak cukup, ada benda yang tidak kena, kerana impian saya adalah untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Mungkin Allah terima doa saya, dipermudahkan urusan, Alhamdulillah.

"Saya pun tidak menyangka anak Kuala Selangor yang duduk di kampung boleh mendapat pencapaian seperti ini dengan dibantu oleh orang-orang yang hebat di sini.

"Saya tidak mahu bercakap berapa tahun lagi saya boleh bermain tetapi selagi saya masih boleh memberikan yang terbaik buat pasukan, komitmen buat pasukan ini, dalam latihan dan perlawanan, selagi itulah saya akan bermain.

"Saya sedia menyahut cabaran dan Insya-Allah, jika diberikan peluang untuk kembali bersama pasukan kebangsaan, saya akan memberikan yang terbaik buat negara sebelum saya mengakhiri penampilan saya sebagai pemain bola sepak.

"Tetapi saya memerlukan sokongan daripada semua pihak, terutama keluarga saya, isteri saya, ibu-bapa saya," katanya.

Berdasarkan rekod, Safiq boleh diiktiraf sebagai antara pemain terbaik dalam lipatan sejarah bola sepak negara.

Dia merupakan kapten pertama skuad negara menjulang Piala Suzuki AFF pada 2010, kapten pertama JDT menjulang Piala AFC pada 2015 dan penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2014.

*Kredit foto: Johor Southern Tigers