Penyerang baru Chungbuk Cheongju, M. Kogileswaran Raj, mendedahkan bahawa Safawi Rasid dan Luqman Hakim Shamsudin menjadi inspirasinya untuk berkelana ke luar negara.

Kogileswaran sah bergelar pemain kelab Liga Korea (Liga K2) itu pada 10 Januari lalu.

Penyerang negara berusia 24 tahun itu mengikat kontrak setahun untuk menjadi pemain Malaysia pertama bermain dalam liga di Korea Selatan selepas dua tahun berbakti bersama Petaling Jaya City FC.

Kogileswaran mendedahkan kisah mengenai Safawi Rasid yang pernah ke kelab Portugal, Portimonense, pada 2020 dan Luqman Hakim Shamsudin, yang masih bersama kelab Belgium, KV Kortrijk, telah menjadi inspirasinya untuk mencuba nasib di luar negara.

Dia berkata kepada Astro Arena: "Safawi pernah berkongsi dengan saya pengalamannya di Portugal. Luqman juga ada bercerita mengenai Belgium.

"Tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah kisah Safawi, dia bercakap mengenai profesionalisme sesi latihannya di sana dan ia agak sama dengan di Korea Selatan.

"Apa yang Safawi katakan ketika itu, saya dapat rasakannya ketika ini.

"Di luar padang, mereka tidak mengira umur sama ada tua atau muda, mereka hanya menghormati sesama sendiri.

"Budi bicara mereka di sini agak baik," katanya.