Itu mesej yang cuba disampaikan jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, kepada pasukan Sabah, apabila mengarahkan anak buahnya menyekat misi skuad Tambadau itu untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana, malam ini.

Pertemuan di antara UiTM dan Sabah di Stadium UiTM Shah Alam sudah pasti mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Ini memandangkan skuad Tambadau itu bakal dinobat juara Liga Perdana andai berjaya menewaskan skuad tuan rumah dalam perlawanan itu nanti.

Begitupun, UiTM enggan memberi laluan mudah kepada lawan kerana mereka juga mendambakan kemenangan untuk misi ke Liga Super musim depan.

"UiTM juga memiliki sasaran yang sama dengan Sabah untuk melangkah ke Liga Super. Kami akan berusaha dengan sebaik mungkin dalam dua perlawanan terakhir ini," kata Ismail.

UiTM dibelenggu prestasi hambar setelah gagal merakamkan kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.

Justeru, pertemuan menentang Sabah menjadi peluang terbaik untuk mereka bangkit sebelum berdepan dengan Negeri Sembilan dalam aksi terakhir 20 Julai ini.

"Kami akan menurunkan skuad penuh dalam perlawanan ini dan UiTM akan menampilkan persembahan yang terbaik bagi meraih mata maksimum," kata jurulatih itu lagi.