Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee, mengingatkan anak buahnya agar bekerja keras jika mahu kekal dalam perancangan jangka masa panjangnya, bermula dengan misi hidup dan mati dalam kempen Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) malam esok.

"Saya akan memberi peluang yang sama kepada setiap pemain, tidak kira yang muda dan senior mahupun import, mereka perlu buktikan (keupayaan).

"Jika mereka mahu terus kekal bersama Sabah pada tahun depan, mereka perlu kekalkan prestasi yang baik ketika Piala Malaysia sebelum saya menilai sama ada mereka akan kekal atau digugurkan," katanya di Nadi Arena.





Kim Swee juga enggan terlalu fokus dengan kelibat bintang tertentu JDT, sebaliknya menggesa pasukannya mempamerkan aksi lebih kemas khususnya di barisan pertahanan.

"Kami tidak boleh terburu-buru dan terlampau yakin kerana JDT mempunyai pemain yang cukup berkualiti.

"Kalau kami mengawal seseorang pemain JDT, yang lain pula masih boleh beraksi dengan baik.

"Menerusi (pengamatan) dua perlawanan awal, kami cuba perbaiki kelemahan yang ada ketika dalam latihan. Saya harap apabila berdepan JDT dan perlawanan seterusnya, kami dapat perbaiki kelemahan yang ketara.

"Kami juga tampilkan satu corak yang cukup positif."