Russia telah menarik balik rayuannya terhadap larangan pasukan kebangsaannya daripada menyertai kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menyaksikan mereka terlepas baki perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Russia telah digantung daripada menyertai sebarang kejohanan kelolaan FIFA dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) berikutan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.

Sekatan FIFA itu bermakna pasukan Russia kendalian Valeri Karpin tersebut tidak dapat bersaing dalam separuh akhir play-off Piala Dunia yang dijadualkan menentang Poland.

Kesatuan Bolasepak Russia (RFU) memohon larangan yang ditetapkan pada hujung bulan lalu itu ditangguhkan tetapi Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak permintaan tersebut.

Poland kemudian memenangi final play-off ke atas Sweden untuk mara ke Piala Dunia Qatar hujung tahun ini.

Poland diundi sekumpulan dengan Argentina, Mexico dan Arab Saudi bagi temasya itu dan pagi tadi, CAS mengumumkan RFU telah menarik balik rayuannya minggu lalu.

Russia, bagaimanapun, akan tetap mencabar pelbagai lagi sekatan yang dikenakan termasuk daripada UEFA.