Al Nassr menafikan Cristiano Ronaldo dibayar untuk mempromosikan bidaan Piala Dunia 2030, kata kelab Arab Saudi itu pada Rabu.

Penyerang Portugal itu menyertai Al Nassr pada 30 Disember lalu dengan menandatangani kontrak dua setengah tahun yang dilaporkan bernilai sekitar €200 juta (RM939 juta) setahun.

Laporan beberapa media turut menyatakan Ronaldo dibayar bonus tambahan untuk bertindak sebagai duta bidaan Piala Dunia Arab Saudi selepas Timur Tengah itu menyasarkan untuk menganjurkan satu lagi kejohanan selepas Qatar 2022.

Al Nassr bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ronaldo telah ditawarkan insentif kewangan untuk bidaan tersebut dengan Sepanyol, Ukraine dan negara asalnya Portugal antara yang turut membuat bidaan bersama untuk menjadi tuan rumah.


"Al Nassr FC ingin menjelaskan bahawa kontrak Cristiano Ronaldo dengan Al Nassr tidak membabitkan komitmen untuk sebarang bidaan Piala Dunia.

"Fokus utamanya adalah kepada Al Nassr dan bekerjasama dengan rakan sepasukannya untuk membantu kelab mencapai kejayaan," katanya.

Ronaldo masih belum membuat penampilan sulung untuk Al Nassr kerana perlu menjalani penggantungan dua perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak England.