Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menegaskan adalah tidak mustahil untuk dia merehatkan Cristiano Ronaldo sambil berkata bintang The Red Devils itu tidak akan bermain dalam kesemua perlawanan musim ini selepas aksi menakjubkannya dalam kepulangan ke Old Trafford.

Ronaldo melakukan penampilan pertama dalam era keduanya di United kelmarin, di mana dia menjaringkan dua gol ketika menewaskan Newcastle United 4-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or itu menerima sorakan hangat penyokong sebelum, sewaktu dan selepas perlawanan sebaik melengkapkan kepulangannya ke United daripada Juventus susulan memilih meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real Madrid pada 2009.

Ketika United akan berdepan Young Boys dalam perlawnan pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Rabu ini, Solskjaer berkata minit permainan pemain berusia 36 tahun itu akan diuruskan sebaik mungkin sepanjang musim 2021-22.

"Tidak mustahil untuk merehatkannya," kata Solskjaer.

"Dia berusia 36 tahun. Mason (Greenwood) berusia 19 tahun, jadi mereka sama sahaja, Saya perlu menguruskan minit permainannya dan saya perlu menguruskan minit permainan pemain berusia 36 tahun itu juga.

"Satu perkara tentang Cristiano adalah dia menjaga dirinya dengan amat baik, jadi saya tahu dia dapat memulihkan dirinya dengan segera.

"Sudah pasti, ia adalah sesuatu yang penting untuk kami memastikan setiap pemain cergas dan perlu memastikan dia cergas," katanya.