Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, kembali menyertai sesi latihan skuad Real Madrid buat pertama kali musim ini selepas mengharungi kempen Piala Konfederasi, bulan lalu.

Ronaldo sebelum ini dipalit dengan kontroversi kes melibatkan cukai serta dikaitkan dengan niat keluar dari Santiago Bernabeu, namun Madrid mendedahkan gambarnya menyertai rakan sepasukan lain ketika sesi latihan semalam.

“Ronaldo menamatkan sesi latihan bersama rakan sepasukan sebelum bergerak sendirian menaiki kereta api untuk fokus kepada persiapannya kembali ke prestasi terbaik,” kata satu laporan mengenai latihan Real Madrid.

Baru-baru ini, dia mendedahkan tidak gembira dengan situasi yang berlaku terhadapnya mengenai dakwaan salah laku cukai dan mahu kembali ke England.

Namun, sokongan penuh yang diberikan skuad Los Blancos membuat Ronaldo dijangka terus kekal bersama pasukan.

Pemenang anugerah Ballon d'Or itu didakwa cuba menyembunyikan keuntungan yang diraih menerusi pendapatannya pada tahun 2010 dan turut didakwa adalah syarikat pengurusannya, Gestifute.

Skuad kendalian Zinedine Zidane bakal bertemu Manchester United dalam saingan Piala Super Eropah sebelum menghadapi cabaran musuh ketat, Barcelona, bagi aksi Piala Super Sepanyol.