Usah terkejut andainya tiada lagi kelibat Cristiano Ronaldo menyarung jersi merah Manchester United mulai dari saat ini.

Dalam sedutan satu temu bual eksklusif yang dipaparkan menerusi ciapan Twitter penyiar terkenal England, Piers Morgan, Ronaldo mendedahkan ketidakgembiraannya bersama pasukan sehingga mengatakan dirinya terasa dikhianati.

Dalam temu bual itu, Ronaldo secara terang-terangan mengakui dia langsung tidak hormat kepada pengurus Manchester United ketika ini, Erik Ten Hag, kerana menurutnya pengurus itu terlebih dahulu menunjukkan rasa tidak hormat kepada dirinya.



Menurut Ronaldo lagi, dia menjadi mangsa dalam komplot di antara Ten Hag dan pihak eksekutif tertinggi Manchester United yang bertujuan untuk memaksa dia meninggalkan kelab.

Tidak cukup dengan itu, dia turut mengkritik bekas pengurus, Ralf Rangnick, dengan mengatakan bahawa dia langsung tidak pernah mendengar tentang beliau dan semata-mata disebabkan itu, dia tidak layak untuk mengemudi Manchester United.

Temu bual ini semestinya mengimbau memori tentang kejadian serupa yang melibatkan penyerang Chelsea, Romelu Lukaku, awal tahun ini.

Namun, harus diperhatikan bahawa dalam temu bual itu, Lukaku lebih dilihat sebagai merungut dan kurang suka dengan sistem yang digunakan oleh pengurus Chelsea ketika itu, Thomas Tuchel.

Sebaliknya, temu bual Ronaldo pula adalah satu serangan secara terang-terangan terhadap pihak kelab yang dilakukan untuk tujuan yang hanya dia seorang yang tahu.


Tingkah laku kurang sopan Ronaldo yang enggan turun ke padang sewaktu menentang Tottenham pastinya masih segar di ingatan, tidak kurang juga pastinya ada pihak yang masih enggan memaafkan perbuatannya itu.

Di saat perbalahan tersebut disangka telah diselesaikan secara aman apabila Ten Hag memilih Ronaldo untuk menjadi kapten sewaktu menentang Aston Villa dua minggu kemudian, Ronaldo sekali lagi memilih untuk melanjutkan drama dengan perbuatannya ini.

Entah apakah yang berlegar di fikiran bekas pemain terbaik dunia itu?


Dia menuduh pihak kelab berkomplot untuk menyingkirkan dirinya, namun semua orang tahu sewaktu jendela perpindahan yang lepas, ejennya, Jorge Mendes, terpaksa menebalkan muka dengan bertanyakan kepada satu demi satu kelab terkemuka tentang kemungkinan untuk membeli penyerang itu.

Kesudahannya, seperti yang dijangka, tiada satu pun kelab yang berminat untuk membeli seorang pemain yang sudah berusia 37 tahun dan meminta gaji setinggi £500,000 seminggu.

Apabila kenyataannya semakin jelas bahawa dia terpaksa meneruskan perjalanan bersama United, Ronaldo memuat naik satu gambar menunjukkan dirinya bersenam sambil mengenakan seluar pendek kelab berserta kapsyen dirinya komited terhadap kelab -- ternyata kini semua itu hanyalah wayang semata-mata.

Jika benar pun ada kelab lain yang sanggup melaburkan wang besar demi mendapatkan Ronaldo dalam jendela perpindahan yang akan datang, sanggupkah mereka turut merisikokan tindakan membeli seorang pemain yang langsung tidak hormat terhadap individu-individu penting dalam kelab dan merosakkan keharmonian pasukan dengan sikap ala primadonanya?

Ronaldo kini pastinya bersiap menuju ke Qatar untuk bersama pasukan kebangsaan Portugal dengan senyuman penuh sinis.

Namun, ketahuilah bahawa dirinya pasti tidak dialu-alukan oleh mana-mana pihak sekembalinya nanti.