Cristiano Ronaldo meraikan penampilannya yang ke-100 bersama Juventus dengan jaringan berganda ketika menewaskan Genoa 3-1 dalam Serie A awal pagi tadi dan kini memburu jaringan ke-100 bersama pasukan itu.

Juve tidak mempamerkan aksi gemilang mereka di Stadio Luigi Ferraris dan hampir menerima keputusan seri keenam mereka daripada 11 perlawanan Serie A musim ini sebelum ia berubah pada penghujung permainan.

Kesilapan pertahanan lawan menyaksikan Juventus memperoleh dua sepakan penalti dalam temph 12 minit terakhir dan Ronaldo mengulangi kejayaan menghasilkan dua gol sepakan penalti ke atas Barcelona pertengahan minggu lalu ke atas Genoa untuk kini mengumpulkan 77 gol sepanjang bersama kelab itu.

Ia bukan sekadar perlawanan ke-100 bersama Juventus malah Ronaldo turut menjadi pemain pertama merekodkan 400 kemenangan dalam lima liga utama Eropah sepanjang abad ini.

Lebih menarik, Ronaldo turut menjaringkan 31 gol sepanjang tahun ini, sekali gus menjadikannya sebagai pemain Juve ketijga mencecah rekod itu dalam liga divisyen utama sejak Omar Sivori melakukannya pada 1961.

Bercakap selepas perlawanan itu, Ronaldo berkata kepada Sky Sport Italia: "Ia satu perlawanan yang sukar tetapi saya gembira dengan pencapaian peribadi saya.

"Di Barcelona, kami memenangi perlawanan yang penting dan selepas kejayaan seperti itu, anda menjadi lebih yakin.

"Genoa beraksi bertahan dan agak sukar untuk meraih kemenangan di sini.

"Selepas Liga Juara-Juara Eropah (UCL), ia sentiasa sukar. Kami penat dan perlu mengubah beberapa perkara tetapi jurulatih memberitahu apa yang kami perlukan dan kami melakukannya dengan baik," katanya.

Ronaldo kemudian meraikan kejayaan itu dengan satu ciapan Twitter sambil berkata: "Apa cara yang lebih baik untuk meraikan penampilan ke-100 bersama Juventus selain menjaringkan dua gol buat pasukan ini?

"Saya amat berbangga untuk mencapai angka ini bersama jersi Vecchia Signora tetapi tahukah anda saya juga sudah memikirkan mengenai gol 100 bersama Juve?"