Mempertahankan kerjayanya berpaksi kepada rasa hormat kepada orang lain, Cristiano Ronaldo menepis tingkah-lakunya awal pagi semalam sebagai tidak lebih daripada emosi spontan yang menguasai dirinya.

Tidak timbul, katanya, perbuatannya itu sebagai tidak menghormati Manchester United, pengurus, Erik ten Hag, peminat mahupun rakan-rakan sepasukan di atas padang yang sedang mendahului Tottenham 2-0 ketika masa permainan sebenar berbaki seminit apabila dia memasuki terowong pemain sebelum meninggalkan stadium.

Cuma, ada dua perkara yang tidak dituturkannya – permohonan maaf kepada pasukan serta menuntut lebih rasa hormat terhadap dirinya sebagai pemain yang sudah menjaringkan 700 gol, terutama daripada Ten Hag sendiri yang lebih kerap menyisihkannya.

Ten Hag sudah membuktikan pegangannya tidak mudah goyah terhadap reputasi Ronaldo dengan menyisihkan pemain berusia 37 tahun itu daripada kunjungan ke Chelsea, awal Ahad ini, tapi nampaknya ia tidak banyak membantu menyejukkan keadaan.

“Lupa daratan,” kata bekas pemain Aston Villa yang kini pengulas talkSPORT, Gabriel Agbonlahor, yang menambah: “Untuk meninggalkan bangku pemain simpanan ketika rakan sepasukan sedang beraksi, ia sesuatu yang memalukan.”

“Namun, harus diakui yang mereka bermain lebih baik tanpa Ronaldo. Saya angkat tabik kepada Ten Hag kerana tidak berasa tertekan untuk menurunkan Ronaldo dan ketegasannya mengetepikan pemain itu untuk berdepan Chelsea harus dipuji.”

Danny Mills pula memberitahu Sky Sports bahawa Ronaldo memiliki isu ego, “dia berasakan dia lebih besar daripada kelab. Ini sesuatu yang sangat memalukan.”

Kolumnis Sportsmail, Micah Richards, turut menyelar Ronaldo dalam rancangan BBC Breakfast, dengan menyifatkan gelagat pemenang lima kali Ballon d’Or itu sebagai langsung tidak professional.





“Ronaldo hanya pentingkan diri, bukan pasukan. Manchester United telah beraksi baik tanpa dia bermula dalam kesebelasan. Untuk dia berasakan berbeza, itu tidak profesional namanya.”

Bekas bintang Coventry dan Aston Villa, Dion Dublin, yang dua musim beraksi untuk United, lebih keras dalam kritikannya.

“Saya mungkin mahu mencekik lehernya dan berkata: ‘Apa yang kamu buat?’

“Saya tahu dia mengambil berat terhadap rakan sepasukannya. Dan saya juga tahu dia amat bersemangat untuk mewakili Manchester United. Cuma, kali ini (awal pagi semalam), dia telah melakukan kesilapan besar dengan membelakangkan pasukan.”

Rakan pengulas, Tim Sherwood, pula menganggap episod berkenaan sebagai mengejutkan di samping mengakui berasa marah dengan apa yang telah disaksikannya.

“Dia telah memperlihatkan rasa tidak bersetujunya dengan pengurus. Ia tidak molek untuk ditonton dan saya berasa agak marah dengannya. Saya sayangkan Ronaldo tapi saya rasa ada cara lain untuk menunjukkan rasa tidak puas hati,” tambahnya.

“Kita semua tahu betapa hebatnya Ronaldo tapi meninggalkan pasukan dua minit sebelum perlawanan tamat… itu tidak dapat diterima. Itu kurang sopan,” cetus penyampai Match of the Day, Gary Lineker.

Ronaldo, dalam reaksi terbarunya, menyatakan dia perlu terus bekerja keras di padang latihan di Carrington, menyokong rakan sepasukan dan bersedia untuk apa saja dalam sebarang perlawanan – barangkali sebagai tanda keinsafan dan kekesalan terhadap keributan yang ditimbulkannya.




Persoalannya, dengan Ronaldo hanya memulakan dua daripada 10 perlawanan liga, hakikat bahawa United beraksi lebih bersemangat dan tersusun tanpanya di samping dia tercicir di belakang Marcus Rashford dan Anthony Martial dalam senarai keutamaan, adakah ini masih masih berkemungkinan?

Atau barangkali juga Ten Hag tidak sabar menanti kedatangan Januari untuk melepaskannya terus – itu pun jika masih ada pasukan lain yang bersedia menawarkannya gaji £500,000 (RM2.65 juta) seminggu sambil menelan segala gelagatnya.