Status Cristiano Ronaldo untuk diturunkan dalam perlawanan Portugal menentang Sweden dalam Liga Negara-Negara Eropah awal pagi Rabu ini masih menjadi tanda tanya selepas tidak dapat beraksi ketika pasukannya menewaskan Croatia 4-1 awal pagi tadi kerana jangkitan kuman di kakinya.

Ketua jurulatih, Fernando Santos, mendedahkan mengenai masalah Ronaldo itu dalam sidang media selepas pertemuan menentang Croatia dengan mengesahkan terdapat jangkitan di kaki pemain itu yang dikatakan berpunca daripada sengatan lebah.

Portugal tidak berdepan masalah tanpa kehadiran penyerang itu dengan Joao Cancelo, Diogo Jota, Joao Felix dan Andre Silva menemui sasaran sebelum Bruno Petkovic menjaringkan gol sagu hati buat Croatia pada lewat permainan di Estadio do Dragao.

Juara bertahan Liga Negara-Negara Eropah itu berharap dapat membina momentum dengan kemenangan pertama itu apabila menentang Sweden minggu depan dan mereka berkemungkinan masih tidak boleh berharap kepada Ronaldo biarpun Santos menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk merehatkan bintang Juventus itu.

"Saya tidak merehatkannya. Jika dia berada dalam keadaan terbaik, dia mungkin berada dalam kesebelasan utama dan bermain," kata Santos kepada RTP.

"Hari ini dia berlatih, berasa baik dan buat masa ini, dia akan bersama kami ke Sweden. Kemudian kita akan lihat.

"Dia tidak cedera tetapi perlu menjalani pemulihan daripada jangkitan kuman," katanya.

Walaupun ia perlawanan pertama Portugal sejak 10 bulan lalu, skuad Selecao itu mempamerkan aksi terpuji ketika membenam pasukan naib juara Piala Dunia 2018 itu

Mereka melakukan asakan bertali arus ke gawang Croatia dalam babak pertama sebelum mengemaskan penyudah dan mudah megatasi lawan itu dalam babak kedua.

Santos tertarik dengan aksi pasukannya tetapi enggan terlalu memuji kerana yakin aksi seperti itu mampu dipamerkan mereka selepas menyaksikan prestasi pemainnya dalam sesi latihan.

"Daripada apa yang mereka lakukan sepanjang minggu ini, mereka telah menunjukkan kepada saya bahawa prestasi seperti itu bukan mustahil.

"Pasukan ini amat mengenali satu sama lain, tugas mereka adalah untuk mengingati apa yang telah mereka lakukan sebelum ini.

"Pasukan ini memberikan respons 100 peratus. terdapat beberapa waktu yang kurang baik tetapi ia adalah sebahagian daripada bola sepak," tambahnya.