PSV 1 BAYERN MUNICH 2

Percaturan pada separuh masa kedua oleh jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti, menyuntik kebangkitan anak buahnya untuk mengalahkan PSV Eindhoven 2-1 bagi mencerahkan laluan ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Dua gol daripada Robert Lewandowski, termasuk jaringan pada minit ke-73, mengesahkan kemenangan juara Bundesliga itu dalam saingan Kumpulan D biarpun terpaksa bangkit untuk memadamkan kelebihan tuan rumah hasil daripada sepakan penalti yang disempurnakan Santiago Arias.

Kingsley Coman dan Douglas Costa yang dimasukkan pada minit ke-64, memainkan peranan penting dalam jaringan kemenangan oleh Lewandowski itu.

"Saya cuba mengubah sistem permainan dengan meletakkan dua pemain sayap untuk membuka ruang. Kami berjaya melakukannya dan Lewandowski menjaringkan gol itu," kata Ancelotti.

"Ia permulaan yang sukar, namun kami mula mempamerkan kebangkitan dan berjaya.

"Kami sangka adalah penting untuk mengelak serangan balas. Kami mula beraksi lebih pantas pada babak kedua dan mencipta lebih banyak peluang. Adalah penting keyakinan kami tidak goyah."

Bayern akan bertandang ke Rostov dalam tempoh tiga minggu lagi bagi merapatkan jurang dengan pendahulu, Atletico Madrid, yang meraih kemenangan 2-1 ke atas kelab dari Russia itu.

Arjen Robben yang digantikan bagi memberi laluan kepada Coman and Costa mendedahkan bahawa dia tidak begitu gembira apabila dikeluarkan ketika menentang bekas pasukannya itu.

"Aksi kami pada babak pertama terlalu lembab. Kami melaksanakan tugas dengan lebih baik pada separuh masa kedua," ujar Robben.

"Perlawanan seperti ini unik buat saya. Sudah tentu saya ingin bermain selama 90 minit, jadi saya agak kecewa dan sedih dengan pertukaran itu."