AS Roma mengumumkan telah menandatangani pemain antarabangsa Sweden, Robin Olsen, sebagai pengganti Alisson Becker.

Kelab Serie A itu telah menggunakan dana berjumlah €8.5 juta (RM40.3j) untuk membawa masuk penjaga gol dari Copenhagen itu yang akan menerima bayaran tambahan sebanyak €3.5j (RM16.6j). Dia akan menyarung jersi nombor satu kelab itu.

Olsen hadir untuk menggantikan Alisson selepas pemain antarabangsa Brazil itu berpindah ke Liverpool dengan bayaran yang boleh meningkat kepada £65j (RM347.2j) yang merupakan rekod dunia bagi seorang penjaga gol.

"Saya berasa gembira, saya sangat teruja," kata Olsen, yang menandatangani perjanjian selama lima tahun dengan Roma.

"Ini satu penghormatan besar untuk datang ke Roma. Ia langkah seterusnya buat saya dan saya tidak sabar untuk memulakan aksi," katanya.

Olsen, 28, beraksi dalam kesemua lima perlawanan Piala Dunia 2018 ketika pasukannya mencapai peringkat suku akhir sebelum disingkirkan England.

Pengarah Sukan Roma, Monchi, sangat sibuk dalam pasaran perpindahan, dengan menyempurnakan perpindahan pemain, termasuk Javier Pastore, Ivan Mercano, Davide Santon dan Justin Kluivert.

Beliau percaya Olsen sudah bersedia untuk memperkuatkan barisan kendalian Eusebio Di Francesco itu pada musim 2018-19.

"Robin merupakan penjaga gol yang memiliki pengalaman antarabangsa dan saya fikir dia boleh membawa tahap itu di Roma," kata Monchi.

"Saya yakin dia dapat membina kualiti yang telah ditonjolkan yang menjadikan dirinya sebagai penjaga gol nombor satu Sweden."

Ketibaan Olsen hadir selepas Roma terlepas untuk mengikat pemain sayap Brazil, Malcom, dari Bordeaux.

Meskipun Roma telah bersetuju dengan perjanjian €40j (RM189.8j) dengan pasukan Ligue 1 itu, Malcom sebaliknya menyertai Barcelona semalam.