Ernesto Valverde menyifatkan pasukannya tidak cukup sempurna untuk menundukkan AS Roma selepas mereka dikejutkan dengan kekalahan 3-0 di Stadium Olimpico dan ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah, musim ini.

Kemenangan 4-1 di Camp Nou minggu lalu menyaksikan Barca sebelah kaki ke separuh akhir, namun tiga gol hasil jaringan Edin Dzeko, Daniele De Rossi dan Kostas Manolas membuatkan pendahulu LaLiga itu terkandas dalam suku akhir.

Bagi Valverde, tiada alasan buat Blaugrana apabila skuad kendalian Eusebio Di Francesco itu meranapkan impian mereka.

"Apabila anda tewas sebegini, ia tentunya sukar diterima tetapi mudah untuk mengatakan bahawa lawan sangat kuat sejak dari awal permainan sehingga tamat.

"Mereka menerapkan tekanan tinggi dan membuatkan kami sukar untuk tampil dengan permainan sendiri. Kami tidak dapat menampung tekanan itu. Roma memenangi perebutan bola kedua dan detik jaringannya sangat penting.

"Ini adalah hari yang buruk buat kami. Realitinya, kami tidak bagus dan mereka sangat hebat," ujar Valverde.

"Kekalahan ini sangat memeritkan, tidak syak lagi. Kami mahu menang tetapi akan hanya ada satu pasukan yang bergembira," ujarnya.

Nada sama turut disuarakan pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets.

"Amat menyedihkan apabila tewas dalam keadaan memiliki pendahuluan dalam aksi pertama tetapi segalanya menjadi malapetaka buat kami," katanya.